
Laporan/foto: Haliza Mohd Taib/Pejabat Daerah Muar (Muar)
MUAR, 29 Mac (Malaysiaaktif) – Pelbagai acara dilaksanakan bersempena Sambutan Hari Air Sedunia tahun ini, antaranya pesta bebola lumpur yang bakal dimasukkan dalam Malaysia Book of Records sebagai Largest Mud Balls Throwing Event.
Menurut Pegawai Daerah Muar Mustaffa Kamal Datuk Shamsudin, program yang diadakan di Sungai Bentayan ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat setempat mengenai kepentingan pemuliharaan air dan pengurusan air lestari yang merupakan sumber utama air negara.
“Pada aktiviti ini sebanyak 324,871 biji bebola lumpur telah berjaya dibaling ke dalam sungai dan parit di beberapa buah lokasi di setiap mukim di daerah ini dan pencapaian ini telah berjaya memecah rekod yang dipegang sebelum ini oleh Management Science University (MSU) sebanyak 178,900 butir pada Disember 2018.
“Bebola lumpur ini mengandungi campuran AMP bakteria yang baik bagi membantu meningkatkan ekosistem air sungai,” katanya yang ditemui dalam sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Muar, di sini baru-baru ini.
Menurut Mustaffa, program ini diadakan serentak di semua mukim dalam daerah Muar.
“Saya berharap dengan penganjuran program ini dapat mendidik masyarakat untuk menjadikan aktiviti ini sebagai budaya dan amalan hidup bersesuaian dengan tema sambutan pada tahun ini iaitu menghargai air.
“Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini, penglibatan semua pihak dalam memelihara dan memulihara sungai-sungai yang merupakan aset terpenting agar ia sentiasa bersih dan selamat serta dapat meneruskan khidmatnya kepada kehidupan sejagat perlu diberikan pujian,” ujarnya lagi.
-NI-