Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

2,717 Kes Baharu, Menurun Sedikit

By 25 April 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 25 April (Malaysiaaktif) – Sejumlah 2,717 kes baharu COVID-19 dicatatkan semalam, menurun sedikit berbanding 2,847 kes kelmarin menjadikan jumlah kumulatif jangkitan setakat ini 390,252.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam Twitter rasmi memaklumkan Selangor mencatat kes baharu tertinggi dengan 768 kes, diikuti Sarawak (570), Kelantan (518), Kuala Lumpur (240) dan Pulau Pinang (134).

Sebanyak 132 kes direkodkan di Sabah, diikuti Johor (126), Perak (54), Terengganu (50), Kedah (34), Melaka (30), Negeri Sembilan (27), Pahang (22), Putrajaya (11), Perlis (satu) selain tiada kes baharu di Labuan.

Sementara itu, menerusi kenyataan rasmi mengenai perkembangan COVID-19 semalam, Dr Noor Hisham memaklumkan daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan, 26 adalah kes import manakala 2,691 kes melibatkan penularan dalam negara.

“Kes import melibatkan dua warganegara dan 24 bukan warganegara manakala kes tempatan membabitkan 2,493 warganegara dan 198 bukan warganegara,” katanya.

Beliau berkata 2,292 kes sembuh dicatatkan manakala 272 pesakit ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 124 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya sebanyak 11 kematian dilaporkan melibatkan 10 warga tempatan dan seorang bukan warganegara yang membawa kepada jumlah kumulatif sebanyak 1,426 kematian manakala kes aktif kini 22,926.

Dr Noor Hisham juga berkata 10 kluster baharu dikesan semalam dengan tujuh melibatkan tempat kerja, dua kluster komuniti dan satu kluster sekolah atau institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Kluster baharu tempat kerja ialah dua di Selangor iaitu Jalan Abdul Karim dan Jalan Melor, dua di Perak iaitu Lebuh Ipoh-Lumut dan Jalan Datoh, Tingkat Mak Mandin Pulau (Pinang), D’Lahar (Terengganu) dan Desa Mawar (Pahang).

Kluster komuniti membabitkan Jalan Kolam Dua di Perak dan Dambai Inanam di Sabah manakala kluster pendidikan pula ialah Jalan St Thomas (Kuala Lumpur).

“Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kluster kini sebanyak 1,583 dengan 352 kluster aktif, dan sebanyak 12 kluster diisytihar tamat hari ini (Sabtu), menjadikan jumlah keseluruhan kluster yang tamat ialah 1,231,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata kluster diisytihar tamat itu ialah Kluster Tapak Bina Bulatan Pandan, Kluster Inanam Taipan, Kluster Jalan Alam, Kluster Jalan Long Yunus, Kluster Taman Ria Enam, dan Kluster Melamam.

Selain itu, Kluster Begalak, Kluster Jalan Firma Dua, Kluster Sementa 27, Kluster Lintang Kampung Jawa, Kluster Sungai Atap, dan Kluster Tapak Bina Jalan Satu turut dilaporkan tamat semalam.

Mengenai penemuan 17 kes varian South African B.1.351 yang dilaporkan sejak Januari hingga Mac lepas, Dr Noor Hisham berkata survelan genomik COVID-19 terus dijalankan dengan melibatkan lebih banyak sampel di seluruh negara.

“Terkini, melalui survelan genomik yang dijalankan dari 15 April hingga 23 April 2021, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah mengenal pasti dan mengesahkan kewujudan empat lagi kes tempatan COVID-19 yang dijangkiti varian South African B.1.351 menjadikan jumlah terkini ialah 21 kes.

“Daripada jumlah ini, tiga kes dilaporkan di daerah Kuala Langat manakala satu kes lagi merupakan kes pertama di luar Selangor iaitu kes COVID-19 yang disahkan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban, Negeri Sembilan,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda