
Laporan/foto: Aziq Asyraf Bolhie (Kapit)
KAPIT, 22 Mei (Malaysiaaktif) – Majlis Daerah Kapit (MDK) dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Kapit melancarkan Program Pendaftaran Dapatkan Vaksin COVID-19 Anda Melalui Aplikasi MySejahtera untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan warga tempatan khususnya golongan warga emas.
Menurut Walikota Majlis Daerah tersebut, Kaunselor Lating Minggang, tujuan program ini dilaksanakan adalah untuk meningkatkan kesedaran pendaftaran penerimaan vaksin COVID-19 di Kapit.
“Saya berharap bilangan ahli komuniti yang mendaftar akan mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus dan seterusnya meningkatkan kesedaran awam mengenai bahayanya COVID-19,” katanya yang ditemui sempena program tersebut di Bangunan Majlis Daerah Kapit (MDK), di sini baru-baru ini.
Menurut Lating, selain daripada membuat pendaftaran vaksinasi, orang awam juga boleh menyemak status pendaftaran serta mendapatkan maklumat COVID-19 di kaunter yang disediakan oleh penganjur.
“Program kesedaran ini turut dilaksanakan serentak di Daerah Kapit, Song dan Belaga bermula dari 21 Mei sehingga 31 Julai 2021.
“MDK Cawangan Song dan Belaga akan membuka kaunter khas pada setiap hari Jumaat bermula 8.30 pagi sehingga 11.00 pagi,” katanya.
-ZS