Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

7,289 Kes Baharu, Jumlah Tertinggi Setakat Ini

By 26 Mei 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 26 Mei (Malaysiaaktif) – Kes baharu COVID-19 di Malaysia terus melonjak kepada 7,289 kes semalam, angka tertinggi sejak pandemik itu dikesan di negara ini pada Januari tahun lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di laman Twitter memaklumkan, Selangor kekal negeri mencatat kes harian tertinggi dengan 2,642 kes, diikuti Johor (664), Kuala Lumpur (604), Sarawak (513 dan Kelantan (425).

Selain itu, Negeri Sembilan (410), Pulau Pinang (380), Kedah (336), Terengganu (268), Sabah (266), Melaka (258), Perak (218), Pahang (211), Labuan (63), Putrajaya (23) dan Perlis sebanyak lapan kes.

Kes harian tertinggi negara sebelum ini dicatat pada 23 Mei lepas dengan 6,976 kes.

Dr Noor Hisham dalam kenyataan media memaklumkan daripada jumlah kes baharu itu, empat adalah kes import manakala 7,285 melibatkan penularan dalam negara.

“Kes import melibatkan seorang warganegara dan tiga bukan warganegara manakala kes tempatan pula membabitkan 6,813 warganegara dan 472 bukan warganegara,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 3,789 kes sembuh dicatat menjadikan jumlah kumulatifnya 460,062 kes manakala kes aktif kini 63,458.

Jumlah kematian akibat pandemik itu meningkat kepada 2,369 susulan 60 kematian termasuk kematian seorang kanak-kanak perempuan berumur 3 tahun yang menghidap leukemia di Likas, Sabah, katanya.

Beliau memaklumkan sebanyak 726 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 373 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 15 kluster baharu dikesan dengan 10 kluster membabitkan penularan di tempat kerja, empat melibatkan komuniti dan satu berkaitan keagamaan.

Kluster baharu tempat kerja yang direkodkan ialah Tapak Bina Persiaran Setia Dagang (Selangor); Jalan Enam Selatan 1A (Selangor); Jalan Cemerlang Elektrik (Johor); Tasek Raja (Kelantan); Jalan Segambut Lentang (Kuala Lumpur); Perusahaan Maju Enam (Pulau Pinang); Dah Charok Bemban (Kedah); Kalabakan Selatan (Sabah); Industri Kledang Satu (Perak) dan Sungai Isap Perdana (Pahang dan Selangor).

Kluster komuniti pula ialah Jalan Tahir Manan (Selangor), Jalan Dato Permaisuri (Sarawak), Jalan Selendang dan Jalan Sekuntum (Johor) manakala kluster berkaitan keagamaan ialah Desa Pinggiran Putra di Selangor.

“Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kluster kini 2,060 dengan 577 kluster aktif,” katanya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa jumlah keseluruhan kluster yang ditamatkan sehingga semalam ialah 1,483.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda