
Laporan/foto: Ahmad Noramin Idris (Manjung)
MANJUNG, 13 Jun (Malaysiaaktif) – Disiplin tinggi dan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang baik di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga Perkampungan Batu 9, Lekir memberi bayangan bahawa ia akan ditamatkan lebih awal.
Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad, berkata terdapat hanya dua kes saman yang dikeluarkan atas pelanggaran SOP dan ini menunjukkan bahawa penduduk di sini lebih berdisiplin dan mendengar saranan kerajaan supaya duduk di rumah sepanjang PKPD dikuatkuasakan di kawasan ini.
“Difahamkan seramai 707 penduduk di kawasan tersebut telah disaring oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah Manjung ketika proses saringan secara bersasar dilakukan,” katanya dalam satu sidang media ketika melakukan Lawatan Kerja Rasmi di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), Batu 9, Lekir, di sini hari ini.
Tambah Saarani, jika keputusan tersebut negatif, maka beliau akan mengesyorkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menamatkan PKPD di kawasan ini dengan lebih awal.
“Sebanyak 10 jabatan dan agensi yang terlibat dalam melaksanakan tugasan masing-masing di PKPD ini dan Pejabat Penerangan Daerah Manjung berperanan untuk membuat hebahan maklumat di seluruh kawasan tersebut.
“Saya amat berterima kasih kepada semua penduduk di kawasan terlibat PKPD kerana menunjukkan disiplin yang baik bagi sama sama mengekang penularan wabak COVID-19 daripada merebak ke komuniti,” katanya.
~RJ~