
Laporan/foto: Toslin Meyub (Sarawak)
KUCHING, 15 Jun (Malaysiaaktif) – Rentetan daripada pengumuman Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin bagi pendaftaran sukarela untuk vaksin jenis AstraZeneca (AZ) yang dibuka kepada orang ramai yang berumur 60 tahun ke bawah pada 26 Mei lalu membuatkan mereka yang berjaya mendapat tarikh janji temu untuk suntikan tersebut terutamanya dalam kalangan belia membuatkan mereka teruja menunggu giliran untuk divaksin.
Pasangan adik-beradik dari Kampung Bumbok di sini, Natalie Lenen, 23, dan adiknya Paulina Martina Lenen, 19, antara anak muda yang berjaya memperoleh tarikh janji temu pada 11 Jun dan adiknya pada 17 Jun 2021.
“Pendaftaran sukarela untuk vaksin AZ ini merupakan salah satu usaha baik kerajaan untuk mempercepatkan vaksinasi agar dapat mengurangkan kadar jangkitan COVID-19 dan rakyat negara ini mencapai imuniti kelompok dengan pantas,” kata Natalie.
Berkongsi pendapat sama ialah bekas penuntut Kolej Matrikulasi Sarawak, Estefania Anatasha Rita, 19, yang sudah mendapatkan dos pertamanya pada 11 Jun lalu.
“Belia muda juga terdedah kepada jangkitan dalam melaksanakan aktiviti harian dan tanpa disedari boleh menjadi ejen penyebar virus tersebut,” katanya.

Estefania Anastasha berkata belia muda juga terdedah kepada jangkitan Covid-19 dalam melaksanakan aktiviti harian.
Tidak terkecuali bagi pasangan suami isteri, Kenneth Topit, 37, penjawat awam dan Lisa Meyub, suri rumah yang turut mencuba nasib membuat tempahan setelah mengetahui tawaran terbuka tersebut dan berjaya mendapat janji temu dos pertama pada tarikh yang sama, 11 Jun lalu.
“Mujur ada peluang sebegini kerana untuk menunggu fasa ketiga PICK, kita belum tahu bila giliran kita, mungkin kena tunggu 3 hingga 4 bulan lagi,” kata Kenneth yang turut berasa lega kerana ibu dan bapanya juga selesai divaksinasi melalui PICK.
Pelaksanaan program vaksinasi dos pertama suntikan vaksin AstraZeneca di Sarawak bermula pada 7 Jun lalu dan bakal berlangsung sehingga penghujung Julai 2021 di PPV BCCK dan Pusat Kemahiran Belia Negara di Miri.
-ZS