Skip to main content
Berita SelatanNegeri Sembilan

Warga Felda Kepis Terima Manfaat PPV Bergerak

By 15 Jun 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Shaharuddin Daud (Kuala Pilah)

KUALA PILAH, 15 Jun (Malaysiaaktif) – Demi memastikan warga Kuala Pilah terutamanya penduduk di luar bandar mendapat perlindungan secukupnya menentang COVID-19, pihak Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Pilah dengan kerjasama Pejabat Pergigian Kuala Pilah mengambil inisiatif memperkenalkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak pertama di Negeri Sembilan.

Pegawai Daerah Kuala Pilah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Mohd Faizal Abdul Manap, berkata penduduk warga Felda Kepis menjadi kelompok pertama yang disantuni untuk mendapatkan vaksin melalui kaedah ini.

“Treler Klinik Pergigian Kuala Pilah ini merupakan treler tunggal yang ada di negeri ini dan Felda Kepis menjadi lokasi pertama PPV Bergerak yang dijangka seramai 1,000 warga Felda Kepis akan menerima suntikan vaksin Sinovac selama lima hari, bermula 14 Jun hingga 18 Jun 2021.

Pemberian vaksin bermula hari ini sehingga Jumaat membabitkan kira-kira 200 penduduk akan disuntik dari 9.00 pagi hingga 5.00 petang sepanjang tempoh berkenaan,” ujar beliau ketika ditemui di felda tersebut, di sini semalam.

Melalui pendekatan sebegini, golongan warga emas, individu komorbid iaitu golongan berisiko akan menerima suntikan vaksin dan seterusnya mengatasi alasan tiada pengangkutan ke PPV yang menjadi antara sebab tidak dapat hadir ke PPV sedia ada sebelum ini.

Menurut Faizal, pemilihan Felda Kepis sebagai lokasi pertama progam ini PPV adalah sebagai susulan terhadap jumlah kes positif COVID-19 Kluster Jalan Seroja Kepis yang tinggi iaitu sebanyak 124 kes selain penempatannya yang sukar bagi mendapatkan kemudahan pengangkutan awam.

“Lokasi seterus yang akan dikunjungi ialah di Padang Lebar dan Seri Menanti. Kemudian kita akan tumpu kepada 13 lokasi penempatan Orang Asli seperti di Tengkek dan penempatan di kawasan pedalaman yang lain bagi memudahkan penduduk menerima vaksin, dan manfaat daripada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK),” ujarnya lagi.

Sementara itu, seorang penerima yang ditemui, Mohd Arsad Abd Razak, 76, menyatakan kesyukuran kerana berjaya mendapat vaksin dos pertama memandangkan beliau menghadapi kesukaran untuk bergerak.

“Terima kasih kepada semua pihak terutamanya Pejabat Felda Kepis atas usaha mereka membawa perkhidmatan ini ke kawasan ini, dan diharap agar semua penduduk Warga Kepis merebut peluang yang disediakan agar imuniti kelompok dapat dibina khususnya di kawasan ini’ ujar beliau.

-FF

Tinggalkan komen anda