Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

5,911 Kes Baharu COVID-19

By 20 Jun 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 20 Jun (Malaysiaaktif) – Sebanyak 5,911 kes baharu COVID-19 direkodkan di seluruh negara semalam.

Jumlah itu kurang 529 kes berbanding 6,440 kes yang dicatat kelmarin.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di Facebook beliau berkata kes baharu itu menjadikan kumulatif kes di Malaysia kini 691,115.

Katanya, Selangor kekal negeri mencatat kes harian tertinggi sebanyak 2,111 orang diikuti Negeri Sembilan (770), Sarawak (569), Johor (498) dan Kuala Lumpur (483).

Selain itu, 245 kes direkodkan di Perak, Kelantan (223), Kedah (204), Sabah (201), Labuan (185), Melaka (134), Terengganu (62), Pahang (56), Putrajaya (tiga) manakala tiada kes baharu dicatat di Perlis.

Sementara itu dalam kenyataannya, Dr Noor Hisham berkata perincian jumlah kes baharu itu melibatkan 5,910 kes penularan tempatan melibatkan 4,444 warganegara dan 1,466 bukan warganegara, manakala hanya satu kes import membabitkan rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, kes sembuh dalam tempoh sama melebihi angka kes baharu dengan 6,918 kes menjadikan kes kumulatif pesakit sembuh kini 622,244 manakala kes aktif pula berjumlah 64,523.

Beliau berkata seramai 886 individu sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 441 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 72 kes kematian dilapor semalam menjadikan angka keseluruhan korban akibat wabak itu di negara ini sebanyak 4,348.

“Kes maut melibatkan 64 rakyat tempatan dan lapan warga asing dalam lingkungan umur antara 29 hingga 90 tahun dengan majoritinya menghidap penyakit kronik,” katanya.

Kementerian Kesihatan (KKM) juga mengesan 24 lagi kluster baharu, melibatkan 12 kluster di tempat kerja, tujuh kluster komuniti, empat kluster di pusat tahanan dan satu kluster berisiko tinggi iaitu Kluster Dah Tiong di Kedah.

Kluster di tempat kerja melibatkan Kluster Tapak Bina Perdagangan Dana, Kluster Jalan Tujuh Selatan Dua, Kluster Industri Jalan Dua, Kluster Industri Alam Jaya 2/1 dan Kluster Jalan Vita Dua di Selangor; Kluster Tanjung Bin Dua, Kluster Jalan Kenyalang dan Kluster Jalan Kempas Lima (Johor) dan Kluster Industri Jalan P1 Ayer Keroh di Melaka.

Kluster Dah Industri Jabi di Kedah, Kluster Tapak Bina Jalan Perumahan Gurney (Kuala Lumpur) serta Kluster Selindang di Pahang.

“Bagi kluster komuniti ialah Kluster Taman Merbau Utama, Kluster Kampung Bedal dan Taman Damai di Kelantan; Kluster Mongkos 2, Kluster Sungai Banun dan Kluster Tebakang Dayak (Sarawak) serta Kluster Jalan Tengah di Johor,” katanya.

Kluster di pusat tahanan melibatkan Kluster Tembok Mantin di Negeri Sembilan, Kluster Tembok Labuan (Labuan), Kluster Tembok Kluang (Johor) dan Kluster Tembok Machang (Kelantan).

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda