
Laporan/foto: Nur Shahrina Amran (Tangkak)
TANGKAK, 25 Jun ( Malaysiaaktif ) – Kadar saguhati untuk sukarelawan yang terbabit dalam membantu proses vaksinasi dan pengurusan COVID-19 akan dinaikkan bagi menghargai sumbangan mereka dalam memastikan kelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Menurut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kenaikan kadar ini kepada RM100 sehari bermula bulan ini akan diberikan kepada 19,000 sukarelawan dengan implikasi kewangan tambahan berjumlah RM180 juta.
“Kerajaan bersetuju menaikkan elaun Sukarelawan Kesihatan daripada RM50 sehari kepada RM100 sehari yang akan membabitkan sukarelawan bertugas melebihi 12 jam sehari bermula bulan ini.
“Bayaran ini turut akan diperluaskan kepada Sukarelawan Kesihatan yang bertugas di lapangan selain dari Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seperti di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Risiko Rendah (PKRC),” katanya pada sidang media selepas meninjau PPV Dewan Muafakat Bukit Gambir, di sini baru-baru ini.
Tambah beliau, jumlah keseluruhan peruntukan adalah sebanyak RM327 juta iaitu jumlah bayaran saguhati sebelum ini, membabitkan RM147 juta serta elaun baharu membabitkan RM180 juta.
“Kenaikan kadar saguhati ini adalah sebagai tanda pengiktirafan kepada jasa dan sumbangan mereka yang bertungkus lumus berusaha memastikan rakyat Malaysia dapat menerima suntikan vaksin dengan teratur, cepat dan selamat.
“Saya berasa bersyukur proses pemberian vaksin kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan baik dan penyertaan dari masyarakat setempat juga sangat memberansangkan,” ujarnya.
Muhyiddin berkata, sebanyak 16 juta dos lagi bekalan vaksin akan tiba di negara ini pada bulan Julai dan Ogos ini bagi memastikan kelancaran PICK.
“Apabila lebih ramai rakyat Malaysia yang divaksinasi, bermakna lebih ramai yang akan dilindungi daripada jangkitan COVID-19 sekali gus negara akan mencapai imuniti kelompok,” ujarnya lagi.
Muhyiddin hadir ke PPV ini bagi meninjau proses pemberian vaksin kepada masyarakat setempat serta melihat kemudahan yang disediakan di pusat itu termasuk sebuah bas yang dijadikan sebagai Unit Vaksinasi Bergerak bagi memudahkan proses suntikan vaksin kepada masyarakat di pendalaman serta yang mempunyai kekangan untuk hadir ke PPV.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Dr. Chong Fat Full Ali, Yang Dipertua Majlis Daerah Tangkak Ezlan Farid Mohd Said dan Pegawai Daerah Tangkak Mohammed Shakib Ali.
-NI-