
Laporan/foto: Norehan Kipli/Robin Junang (Sarawak)
KUCHING, 29 Jun (Malaysiaaktif) – Khalid Husseine Tuah, 38, yang mewakili Daerah Kuching dengan tajuk pidato ‘PENJANA Menjana Ekonomi Negara’, dinobatkan sebagai johan Pertandingan Pidato Kenegaraan 2021 Peringkat Negeri Sarawak, anjuran Jabatan Penerangan Sarawak.
Beliau yang merupakan Pensyarah Kanan di Politeknik Kuching itu telah membolot hadiah berupa wang tunai sebanyak RM1,500, piala pertandingan dan sijil kemenangan.
Manakala naib johan yang juga bekas juara 2019 Canigia Uden Ben, 27, seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kapit dengan tajuk pidatonya ‘Rukun Negara Teras Identiti Nasional’ membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM 1,000, sebuah piala berserta sijil penyertaan, manakala di tempat ketiga dimenangi oleh Adzharye Johari, 28, Pegawai Undang-Undang di Pejabat Residen Limbang dengan tajuk pidato ‘Dasar Perpaduan Negara (DPN) Membangun Identiti Nasional’.
Pengarah Penerangan Negeri, Suwady Guliling merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan, berkata seramai 26 orang peserta telah menyertai pertandingan tersebut dan 12 orang peserta terbaik dari setiap daerah layak bertanding di peringkat akhir.
“Tema ‘Kita Malaysia Bangkit Bersama’ dilaksanakan secara hibrid iaitu melalui penghantaran video oleh para peserta selaras dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang tidak membenarkan acara seperti ini diadakan secara fizikal.
“Pertandingan pidato ini diadakan untuk memilih seorang peserta bagi mewakili negeri Sarawak ke peringkat kebangsaan yang dijangka dinilai melalui kaedah penghakiman rakaman video pada bulan September nanti,” katanya ketika menyampaikan hadiah kepada pemenang di Studio Jabatan Penerangan Sarawak, di sini semalam.
Menurut Suwady, konsep pertandingan kali ini menerapkan unsur-unsur syarahan yang turut dibantu dengan penggunaan slaid.
“Semenjak dua tahun ini, pendekatan pertandingan pidato norma baharu dilaksanakan dengan menggunakan rakaman video secara paparan penuh tangkap tunggal supaya semua pergerakan peserta nampak jelas tanpa menjejaskan penghayatan pidato yang disampaikan.
“Bahan sokongan peserta seperti persembahan infografik, powerpoint, sistem perbentangan prezi dan video perlu dimasukkan dalam rakaman video persembahan dan video dinilai berdasarkan kriteria seperti penggunaan infografik, powerpoint, kemahiran menggunakan teknik dan kaedah komunikasi berkesan serta keselesaan menggunakan peralatan untuk menyampaikan pidato,” katanya.
Suwady menambah, penilaian utama adalah berdasarkan takrifan tajuk dan isi pidato yang disampaikan termasuk huraian dan contoh-contoh, dari segi bahasa yang jelas, baku, gaya bahasa yang berkesan dan tepat dengan maksud yang hendak disampaikan.
“Penyampaian dan persembahan yang lancar, kesesuaian nada serta persembahan yang meyakinkan, gaya yang menarik, nilai pembujukan yang tinggi dan susunan isi yang tertib, intonasi serta nada yang sesuai,” ujarnya.
-ZS-