Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Dua Mekanisme Disyor untuk Laksanakan Latihan Kemahiran Secara Bersemuka

By 1 Julai 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 1 Jul (Malaysiaaktif) – Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengesyorkan dua mekanisme bagi membolehkan latihan kemahiran dilaksanakan secara bersemuka sepanjang pelaksanaan Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara.

Dua mekanisma itu ialah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan keutamaan vaksinasi kepada kakitangan, pengajar dan pelajar Pusat Bertauliah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

“Menerusi mekanisme ini, latihan kemahiran secara bersemuka dapat dilaksanakan sepenuhnya sekali gus pelaksanaan tuntutan bayaran dan pembiayaan ke atas Pusat Bertauliah JPK dapat dibuat sewajarnya supaya Pusat Bertauliah JPK dapat terus kekal beroperasi.” dekimian menurut KSM dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai mengulas luahan Presiden Persekutuan Pusat Bertauliah Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia (FeMAC) Azizul Mohd Othman yang menggesa kerajaan supaya membantu Institut Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) bagi membolehkan mereka meneruskan operasi ketika pelaksanaan Fasa Satu Kawalan Pergerakan.

Sementara itu, KSM melalui JPK telah menyediakan Garis Panduan dan SOP dengan melonggarkan pelaksanaan latihan teori secara dalam talian manakala aktiviti kawalan mutu latihan kemahiran dan pentauliahan program bertauliah turut dijalankan secara dalam talian supaya operasi Pusat Bertauliah JPK tidak terjejas.

“Namun demikian, aktiviti latihan kemahiran secara amali (hands-on) memerlukan kehadiran pelatih secara fizikal dan bersemuka dan kekangan ini telah menjejaskan pelaksanaan latihan kemahiran dan pada masa yang sama tuntutan bayaran oleh Pusat Bertauliah JPK tidak dapat dibuat,” katanya.

Sementara itu, KSM berkata kerajaan melalui JPK telah menyediakan siling peruntukan berjumlah RM200 juta bagi membiayai program berinsentif Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) RMK-11 (2016–2020).

Daripada jumlah itu, sehingga 31 Mei 2021 sebanyak RM146.4 juta telah dibelanjakan dan menerusi Kumpulan Wang COVID-19 (KWC) pula, sejumlah RM60 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan bagi membiayai program SLDN PLUS bagi tahun 2021.

“Sejumlah RM6.5 juta telah dituntut Pusat Bertauliah JPK dan dimanfaatkan sepenuhnya sehingga kini,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda