
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 10 Jul (Malaysiaaktif) – Sebuah kedai menjual durian di Taman Industri Bolton Batu Caves, di sini dikenakan tindakan penguatkuasaan selepas dikesan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed, berkata Pasukan Pematuhan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak bertindak setelah menerima maklumat pukul 4.00 petang semalam.
“Semakan mendapati kedai tersebut mempunyai surat kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk beroperasi.
“Namun, didapati jumlah pekerja yang bekerja di kedai tersebut melebihi kapasiti yang ditetapkan oleh MKN.
“Tindakan kompaun RM10,000 bawah Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 telah dikeluarkan kepada majikan kerana gagal memastikan kapasiti pekerja mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh MKN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Ahmad Fauzi Ishak, berkata dua kompaun dikeluarkan MPS kepada kedai tersebut pada 5 Julai lalu atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen dan halangan.
“Tindakan kompaun dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil 3 (UUK3), iaitu tiada lesen tred perniagaan dengan jumlah kompaun yang dikenakan sebanyak RM1,000.
“Kompaun turut dikeluarkan di bawah Seksyen 46 (1) melibatkan halangan di atas jalan tepi premis,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, MPS akan membuat pemantauan semula dan tindakan susulan terhadap premis berkenaan dari masa ke masa.
Terdahulu, tular di media sosial gambar menunjukkan sebuah premis dipenuhi orang ramai yang beratur panjang untuk mendapatkan durian dengan tawaran harga murah.
-RI