Skip to main content
Berita SelatanNegeri Sembilan

Petugas PKRC Stadium Tertutup Nilai Terima Vaksin COVID-19

By 10 Julai 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Suzilawati Kamarudin/Mohd Khairul Nizam Yunus (Nilai)

NILAI, 10 Jul (Malaysiaaktif) – Lonjakan kes baharu jangkitan COVID-19 di Negeri Sembilan seperti yang dilaporkan setiap hari menyebabkan beberapa Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) ditambah di negeri ini bagi menerima kehadiran  pesakit COVID-19.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, PKRC Stadium Tertutup Nilai telah mula beroperasi sejak 1 Julai lalu dengan kapasiti 1060 katil untuk pesakit  COVID-19 berisiko rendah yang dikuarantin di sini.

“Pastinya pembukaan PKRC ini bukan sahaja melibatkan petugas kesihatan tetapi turut dibantu petugas daripada agensi dan pihak lain terutama dalam perkara penyediaan makanan, kebersihan kawasan dan  pengurusan media serta teknikal siaraya.

“Sebagai langkah melindungi  diri kerana bertugas di tempat berisiko, seramai 42 orang  petugas PKRC Stadium Tertutup Nilai telah divaksin.” ujarnya ketika membuat tinjauan di PKRC Stadium Tertutup Nilai, di sini kelmarin.

Tambah Aminuddin Harun, antara penerima vaksin termasuklah pekerja Medivest, pekerja pengurusan katering, petugas pusat media dan Unit Siaraya Teknikal, Jabatan Penerangan Negeri Sembilan.

Salah seorang petugas PKRC Stadium Tertutup Nilai sedang divaksin.

Salah seorang petugas PKRC Stadium Tertutup Nilai sedang divaksin.

Mohamad Aizuddin Fadzil, Juru Audio Visual turut berkongsi perasaan ditugaskan di pusat kuarantin.

“Rasa insaf tengok orang sakit di sini, walaupun bertugas di pusat kuarantin berisiko rendah, tetapi berharap dijauhkan  dari terkena jangkitan virus ini dan saya bersyukur kerana telah menerima vaksin awal dari masa yang dijangkakan” katanya ketika ditemui di PKRC Stadium tertutup Nilai, di sini kelmarin.

Sementara itu, seorang jurugambar yang bertugas setiap hari di sini, Mohd Khairul Nizam Yunus berpesan kepada masyarakat supaya patuh kepada SOP yang di tetapkan walaupun telah lengkap divaksin supaya rantaian COVID-19 ini dapat diputuskan.

-FF

Tinggalkan komen anda