Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Golongan OKU Mula Terima Vaksin COVID-19 di PPV KPJ Johor

By 13 Julai 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Siti Nabila Bohari (Johor Bahru)/KPJ Johor 

JOHOR BAHRU, 13 Jul (Malaysiaaktif) – Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) semakin mendapat sambutan apabila kini golongan orang kurang upaya (OKU) pula mula menerima suntikan vaksin COVID-19.

Menurut seorang penerima vaksin yang mempunyai masalah penglihatan Thew Ming Soon, 23, beliau sangat gembira apabila menerima janji temu untuk suntikan vaksin yang memang dinanti-nantikan sebelum ini.

“Saya mendaftar vaksin melalui aplikasi MySejahtera sejak Mac lalu dan pada hari Ahad lepas saya telah menerima janji temu untuk suntikan vaksin dos pertama di Hospital Pakar KPJ.

Thew Ming Soon yang mempunyai masalah penglihatan teruja menerima vaksin di PPV Hospital Pakar KPJ Johor.

Thew Ming Soon yang mempunyai masalah penglihatan teruja menerima vaksin di PPV Hospital Pakar KPJ Johor.

“Saya ingin menasihati orang ramai terutama golongan OKU agar tidak berasa takut untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 kerana ini merupakan langkah terbaik bagi melindungi diri dan jika imuniti berkelompok mencapai sasaran yang ditetapkan kita boleh kembali menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya ketika ditemui di PPV Hospital Pakar KPJ, di sini hari ini.

Sementara itu, ibu kepada salah seorang penerima vaksin Delailah Sabtu, 50, berkata peluang menerima vaksin ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin kerana anaknya merupakan antara golongan yang berisiko tinggi.

“Anak saya Mohamad Iqbal Haqeem, 21, yang mengalami masalah sindrom down berada dalam keadaan yang baik untuk menerima suntikan pada hari ini.

Delailh Sabtu bersama anaknya Mohamad Iqbal Haqeem teruja menerima vaksin di PPV Hospital Pakar KPJ Johor.

Delailah (kanan) bersama-sama anaknya Mohamad Iqbal teruja menerima vaksin di PPV Hospital Pakar KPJ Johor.

“Beliau tidak menolak untuk hadir pada janji temu ini malah lebih bersedia untuk menerimanya kerana dia sering menonton iklan dan berita-berita berkaitan program vaksinasi yang ditayangkan di saluran-saluran media elektronik,” ujarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Johor Mohd Azhar Abdullah berkata pihak pengurusan berbesar hati dan berbangga kerana PPV ini terpilih sebagai salah sebuah pusat pemberian vaksin bagi golongan berkenaan.

“Pihak kami akan memberikan layanan terbaik terutama kepada golongan ini dengan menyediakan perkhidmatan vaksinasi pandu lalu.

“Ia adalah sebahagian sumbangan kami kepada negara dalam memastikan matlamat imuniti berkelompok dapat dicapai pada tahun ini,” katanya.

-NI-

Tinggalkan komen anda