
Laporan/foto: Noor A’mirah Daman Huri (Kerian)
BAGAN SERAI, 13 Jul (Malaysiaaktif) – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) terus turun padang dalam menyantuni masyarakat yang terkesan dengan pandemik COVID-19 melalui sumbangan kotak makanan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, menyatakan kesyukuran kerana dapat bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan YADIM dalam membantu masyarakat yang terkesan dengan keadaan itu.
“Pihak YADIM telah turun padang dan menyalurkan sumbangan kepada mereka yang terkesan termasuk mengedarkan lebih 200 pek makanan di kawasan Ipoh dan Bagan Serai selain sumbangan beg sekolah kepada anak-anak yang memerlukan.
“Program seperti ini harus dilaksanakan secara berterusan bukan sahaja dari agensi kerajaan bahkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bertujuan untuk memberi bantuan kepada masyarakat setempat yang memerlukan,” katanya dalam satu sidang media selepas selesai Program Penyerahan Kotak Musaadah (Kotak Makanan) kepada Penduduk Setempat di Surau Al-Faizin Taman Serai Permai, di sini siang tadi.
Dr Zulkifli turut menyentuh isu vaksin yang hangat diperkatakan terutama kepada jemaah umrah dan haji.
“Kerajaan Arab Saudi telah memberi kebenaran kepada jemaah umrah dan haji yang menerima vaksin jenis Sinovac untuk memasuki negaranya bagi tujuan menunaikan ibadah tersebut.
“Oleh itu, kerajaan Malaysia berterima kasih kepada kerajaan Arab Saudi yang peka terhadap isu ini seterusnya memberi kebenaran kepada jemaah Malaysia untuk menunaikan ibadah umrah dan haji,” ujarnya.
Turut hadir Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak Datuk Razman Zakaria.
~RJ~