
Laporan/foto: Izawati Eni/Chua Sim Choon (Sarawak)
KUCHING, 16 Jul (Malaysiaaktif) – Jabatan Penerangan (JaPen) Malaysia Sarawak hari ini telah menyemarakkan aura Sambutan Hari Sarawak
menerusi kempen pemasangan bendera di perkarangan ibu pejabat Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak (JaPen) sempena menyambut Hari Sarawak dan seterusnya Bulan Kebangsaan Malaysia pada Ogos akan datang.
Pengarah Penerangan Sarawak Swady Guliling, hari ini telah menyempurnakan upacara simbolik pemasangan bendera dan berkongsi pandangannya tentang kepentingan Sambutan Hari Sarawak kepada warga Bumi Kenyalang.
“Tarikh 22 Julai amat penting kepada rakyat Sarawak dan kita boleh menyambutnya dengan cara atau konsep kita sendiri disebabkan tidak dapat berkumpul kerana situasi pandemik COVID-19 ini maka kempen pemasangan bendera ini adalah paling mudah dan praktikal untuk masyarakat meraikannya.
“22 Julai diraikan sebagai mengingati hari Sarawak yang mula dibebaskan daripada cengkaman penjajah Koloni British pada tahun 1963, dengan pentadbiran negeri diuruskan oleh anak Sarawak sendiri.
“Sambutan 22 Julai yang diisytihar cuti umum di Sarawak bermula tahun 2016 oleh mantan Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem (Tok Nan) sebagai tanda mengingati jasa dan pengorbanan pemimpin dan pejuang kemerdekaan Sarawak,” katanya yang ditemui di pejabatnya, di sini hari ini.
Menurut Swady, penerapan semangat patriotik dalam kalangan rakyat adalah salah satu kaedah JaPen untuk mencapai objektif membantu membina masyarakat yang terhubung, bersatu padu, berilmu dan berintegriti.
“Pemasangan bendera ini adalah sebagai manifestasi rakyat bersatu padu dalam sesebuah negeri atau negara, lebih-lebih lagi ketika pandemik sebegini kerana kita perlu bekerjasama untuk memastikan Sarawak berjaya mengawal musuh yang tidak nampak ini.
“Kepentingan Hari Sarawak wajar dihayati rakyat tempatan kerana tarikh 22 Julai 1963 ini juga merupakan sebahagian daripada peristiwa yang perlu dihargai kerana ianya merupakan tarikh Sarawak secara rasmi berkerajaan sendiri yang kemudiannya mendorong kepada sejarah Sarawak menyertai pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963,” katanya.
-ZS-