Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Rakyat Sambut Baik Moratorium PEMULIH

By 16 Julai 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norhayati Sarkawi (Sarawak)

KUCHING, 16 Jul (Malaysiaaktif) – Rata-rata rakyat menyambut baik bantuan penangguhan bayaran balik (moratorium) pinjaman bank selama enam bulan kepada semua peminjam individu sama ada dari kumpulan B40, M40 atau T20, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta usahawan mikro bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang telah diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Jun 2021 yang lalu.

Menerusi tinjauan pendapat umum oleh Jabatan Penerangan (JaPen) Malaysia Sarawak, rata-ratanya rakyat menyambut baik keputusan kerajaan untuk melaksanakan pemberian moratorium tersebut.

Penjawat awam Roslina Muran, 40, menyifatkan bantuan ini sebagai ‘talian hayat’ buat dirinya dalam menempuh tempoh sukar ini.

“Pakej moratorium PEMULIH selama enam bulan tanpa syarat meringankan beban saya dalam mendepani tempoh mencabar akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang baru sahaja beralih ke fasa kedua pada 14 Julai 2021.

“Proses permohonan moratorium sangat mudah dan kelulusannya juga adalah dalam tempoh yang singkat.

“Penangguhan pembayaran pembiayaan perumahan, kenderaan dan sebagainya bagi tempoh tersebut akan saya manfaatkan dengan mengurus semula aliran tunai dengan lebih teratur (pelaburan atau simpanan) dan akan dibelanja secara berhemah untuk pembelian keperluan penting sahaja,” katanya semasa ditemui di pejabatnya di Wisma Satok, di sini hari ini.

Seorang pengusaha katering tempatan Sally Drahman, 41, berkata perniagaannya terjejas semasa PKP kerana ketiadaan tempahan disebabkan oleh penutupan pejabat-pejabat dan larangan mesyuarat atau program secara bersemuka serta penganjuran majlis sosial seperti kenduri.

Sally, salah seorang pengusaha perniagaan katering yang terkesan oleh pandemik COVID-19.

Sally, salah seorang pengusaha perniagaan katering yang terkesan oleh pandemik COVID-19.

“Pendapatan perniagaan saya berkurangan, malah kesukaran untuk membuat pembayaran balik pinjaman kepada pihak bank mengikut masa yang ditetapkan dan proses pembayaran perkhidmatan katering yang lewat daripada biasa merupakan sebab saya memutuskan untuk memohon moratorium,” jelas beliau.

Selain itu, Usahawan PKS yang merupakan pengusaha produk Sambal Pak Leman dan produk berasaskan Gula Apong Sarawak, Saiful Firdaus Sulaiman, 37, menyatakan rasa bersyukur apabila kerajaan memperkenalkan pakej PEMULIH kepada rakyat termasuk PKS yang terjejas.

“Moratorium menjadi pilihan terbaik untuk PKS bagi tujuan mengatur semula strategi bagi membangunkan semula perniagaan yang terjejas di mana kami akan tiada atau kurang bebanan dari segi komitmen bulanan pembayaran pinjaman peribadi atau perniagaan.

Saiful bersama isterinya, Carolyne yang turut sama membantu dalam perniagaan sambal dan produk berasaskan gula apong.

Saiful bersama isterinya, Carolyne yang turut sama membantu dalam perniagaan sambal dan produk berasaskan gula apong.

“Dengan moratorium juga, kami dapat memanfaatkan modal pusingan walaupun sedikit, untuk melaksanakan strategi yang telah diatur untuk terus berjuang dalam tempoh pandemik,” jelas Saiful.

Saiful berpandangan bahawa kerajaan telah mengambil keputusan baik menawarkan moratorium kepada rakyat dalam tempoh pandemik ini kerana rakyat yang bergaji tetap akan mempunyai sumber kewangan yang lebih untuk berbelanja serta terus menyokong ekonomi negara termasuklah industri kecil dan sederhana.

-ZS-

Tinggalkan komen anda