Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Tuisyen Dalam Talian Percuma Inisiatif Bantu Calon SPM Hadapi Peperiksaan

By 16 Julai 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Krisha Selladurai (Pontian)

PONTIAN, 16 Jul (Malaysiaaktif) – Program tuisyen dalam talian secara percuma antara inisiatif bawah program kebajikan Pejabat Parlimen Tanjung Piai bagi membantu para pelajar membuat persiapan bagi menghadapi peperiksaan yang akan datang.

Menurut Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, program ini diadakan untuk membantu calon SPM 2021 di kawasan parlimen ini untuk mengulang kaji mata pelajaran yang diambil secara dalam talian.

“Saya berharap para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM 2021 dapat menumpukan perhatian sepenuhnya dalam pelajaran walaupun ketika ini negara masih berdepan dengan pandemik COVID-19.

“Program ini diadakan bagi memastikan kebajikan dan kualiti hidup rakyat terjamin dan menyempurnakan definisi pendidikan negara iaitu memastikan para pelajar menguasai 5M (membaca, menulis, mengira, memikir dan mengamal),” katanya ketika ditemui sempena Pelancaran Program Tuisyen Dalam Talian Percuma SPM 2021 bagi sekolah-sekolah menengah di kawasan Parlimen Tanjung Piai secara maya, di sini semalam.

Tambahnya, program ini yang melibatkan 1,300 pelajar SPM dari 10 buah sekolah terpilih di kawasan ini turut ditaja oleh sebuah syarikat runcit petrol.

“Selain itu juga, program ini turut merangkumi 17 mata pelajaran dalam silibus tingkatan empat dan lima bagi memudahkan para pelajar membuat ulang kaji dengan mengakses video pengajaran pada bila-bila masa mengikut keperluan.

“Saya juga berharap program ini mampu menjadi medium untuk membantu dan memberi peluang kepada para pelajar dari golongan yang kurang berkemampuan untuk menambah ilmu pengetahuan dan meningkatkan keyakinan mereka dalam menjawab soalan peperiksaan SPM kelak,” ujarnya.

-NI-

Tinggalkan komen anda