
Laporan/foto: Luqman Hakim (Petaling)/Farhan Abdullah (Putrajaya)
SERDANG, 9 Ogos (Malaysiaaktif) – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyerahkan sumbangan pelbagai pek makanan dan minuman kepada pesakit dan petugas barisan hadapan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Bersepadu MAEPS 2.0.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan M.Yusop, berkata sumbangan bernilai RM60,000 turut diserahkan di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) Stadium Melawati, Shah Alam.

Saipolyazan (kiri) menyerahkan sumbangan kepada wakil petugas PKRC Bersepadu MAEPS 2.0, Kapten Syahirah Hammiza.
“Sumbangan ini melibatkan 20,280 paket biskut dan kudapan, 9,600 botol air mineral serta 9,600 kotak minuman untuk keperluan pesakit serta petugas di PKRC MAEPS dan CAC berkenaan.
“LZS telah mengumumkan peruntukan RM69.3 juta bagi melaksanakan 19 inisiatif bantuan Zakat Selangor Peduli yang memberi manfaat kepada 59,322 penerima dan 431 institusi di Selangor.

Beberapa petugas PKRC MAEPS membawa masuk barang-barang yang disumbangkan oleh Lembaga Zakat Selangor.
“Daripada jumlah tersebut sebanyak RM1 juta peruntukan wang amil disalurkan bagi menyokong keperluan asas petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus menangani pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, LZS telah menyalurkan sumbangan sebanyak 2,000 pek makanan dan minuman selama 30 hari kepada orang ramai yang hadir membuat penilaian kesihatan di CAC Stadium Melawati, Shah Alam.
-RI