
Laporan/foto: Mohd Ridhuan Mohd Fadhil Samuel(Kuala Kangsar)/Mohammad Ezwandi Mohammad Radzi (Ipoh)
IPOH, 11 Ogos (Malaysiaaktif) – Seluruh lapisan rakyat di negara ini diseru untuk sama-sama membangkitkan semangat patriotisme dalam tempoh pandemik COVID-19.
Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad, berkata rakyat haruslah menyemarakkan semangat ini dengan mengibarkan Jalur Gemilang bukan saja di rumah, bahkan di bangunan pejabat, premis perniagaan dan kenderaan sebagai tanda solidariti melawan musuh yang tidak kelihatan sempena Bulan Kebangsaan dan kempen Kibar Jalur Gemilang.
“Bermula 1 Ogos, lebih 10 ribu Jalur Gemilang telah diedarkan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan Sekatan Jalan Raya (SJR) seluruh negeri ini sempena Pelancaran Kempen Jalur Gemilang Peringkat Negeri Perak Tahun 2021.
“Selain pemberian Jalur Gemilang, pelekat magnet berbentuk Jalur Gemilang juga dibekalkan untuk ditampal pada kenderaan,” katanya ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Perak di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, di sini tengah hari tadi.
Majlis melibatkan seramai 225 wakil daripada agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri Perak serta buat julung kalinya dilaksanakan secara dalam talian dan hibrid melalui aplikasi zoom dan bersiaran langsung melalui Facebook Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan Jabatan Penerangan Perak.
Dalam pada itu, Saarani turut mengalu-alukan rakyat negeri ini untuk menyertai pertandingan sempena Bulan Kebangsaan anjuran kerajaan negeri bersama-sama Jabatan Penerangan Negeri Perak.
“Antara pertandingan yang dilaksanakan termasuk Pidato Hari Kebangsaan, Keceriaan Bulan Kebangsaan, Kuiz Kahoot, Bintang Patriotik Smule, Teka Silang Kata, Selebriti Merdeka PerakFM dan Kuiz Kemerdekaan PerakFM,” ujarnya.
~RJ~