
Laporan/foto: Mohamad Fikri Johari/Muhammad Samsul Amri Samsuri (Larut Matang dan Selama)
TRONG, 12 Ogos (Malaysiaaktif) – Idea menggunakan bahan kitar semula atau bahan terpakai untuk dijadikan medium keceriaan bagi menyambut Hari Kemerdekaan yang bakal tiba tidak lama lagi, nyata memberi kepuasan bagi seorang bekas penjawat awam.
Pesara kerajaan, Abu Bakar Osman, 65, berkata idea ini tercetus pada tahun 2017 ketika menikmati angin petang di kawasan perumahannya apatah lagi pada waktu itu beliau baru sahaja menamatkan perkhidmatan sebagai penjawat awam.
“Saya menggunakan bahan kitar semula seperti botol, dawai, besi, tayar dan sebagainya untuk menghasilkan sesuatu yang unik dan kreatif selain dibantu anak kandung dalam menghasilkan replika-replika tersebut.
“Antara replika yang dihasilkan termasuklah bangau putih, kartun ‘Upin Ipin’, anggota polis trafik dan pintu gerbang menghala ke laman rumah,” katanya.
Tambah Abu Bakar, replika pertama yang diciptanya ialah replika barisan petugas hadapan iaitu polis trafik.
“Bertemakan Malaysia Prihatin, ia sangat sesuai diangkat kepada semua petugas barisan hadapan yang sedang berjuang melawan pandemik COVID-19 dan usaha ini pernah mendapat pujian daripada Ibu Pejabat Polis Diraja Bukit Aman yang berpendapat mampu memberi kesedaran kepada penunggang motosikal.
“Saya tetap menggunakan bendera-bendera pada tahun lepas kerana masih sesuai digunakan memandangkan tiada sebarang kerosakan atau kelusuhan pada bendera tersebut,” ujarnya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Sungai Tinggi, di sini tengah hari tadi.
Menurut Abu Bakar, beliau memperuntukkan lebih kurang RM7 ribu bagi menghasilkan kesemua replika dan perhiasan tersebut dan wang yang digunakan untuk membeli bahan-bahan adalah hasil titik peluhnya sendiri sepanjang bergelar sebagai penjawat awam sebelum bersara wajib.

Antara replika yang sedia ada serta kibaran Jalur Gemilang yang menghiasi perkarangan rumah Abu Bakar.
“Syukur kerana keluarga memberi sokongan penuh terhadap minat ini dan usaha ini dianggap berbaloi kerana antara pencapaian terbaik sepanjang menyertai pertandingan keceriaan adalah pernah menjuarai Pertandingan Keceriaan Kemerdekaan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Trong pada tahun 2020,” katanya.
~RJ~