
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/Fb Asal Gombak
GOMBAK, 15 Ogos (Malaysiaaktif) – Seorang wanita cedera selepas ditikam dalam kejadian cubaan samun di Taman Greenwood, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed, berkata mangsa turut mengalami trauma akibat terkena tikaman di paha kanan dalam kejadian pukul 4.24 petang.
“Ketika kejadian, mangsa memandu kereta milik abangnya bersendirian.
“Mangsa ada menghubungi abangnya mengatakan seorang lelaki tidak dikenali telah membuka pintu kereta dan cuba mengambil begnya.
“Namun, mangsa tidak dapat mengecam muka dan kenderaan yang digunakan suspek,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera ketika melakukan rompakan.
“Sekiranya disabitkan salah suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau sebatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta tampil untuk membantu siasatan,” jelasnya.
Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Selayang oleh pihak ambulans dan kini masih berada di zon merah namun dalam keadaan stabil.
Terdahulu, tular gambar menunjukkan seorang wanita cedera selepas ditikam di paha dalam kejadian cubaan samun.
-RI