Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Ujian Buat Mangsa Banjir Ketika Menghadapi Pandemik COVID-19

By 16 Ogos 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Hidayah Mohd Izam (Batu Pahat)/Pejabat Daerah Batu Pahat 

BATU PAHAT, 16 Ogos (Malaysiaaktif) – Penduduk di tiga kawasan di daerah ini iaitu Taman Santalia, Taman Haji Abdul Aziz dan Kompleks Peladang Tongkang Pechah diuji apabila kawasan kediaman mereka dinaiki air.

Sebanyak 44 keluarga terpaksa meninggalkan rumah mereka dan menumpang berteduh di rumah ahli keluarga terdekat berikutan banjir kilat yang melanda ekoran hujan lebat yang turun petang semalam.

Menurut Penghulu Mukim Linau Mohd Hairul Mohmed Khalib, taman-taman perumahan ini sudah lama dibina dan merupakan kawasan yang sedang pesat membangun dengan taman-taman perumahan baru dan pembinaan kilang-kilang yang mana lokasinya terletak berhampiran tapak pelupusan sampah Bukit Payung.

Keadaan rumah penduduk yang dimasuki air banjir.

Keadaan rumah penduduk yang dimasuki air banjir.

“Selain dari penyelenggaraan saliran yang tidak teratur, penerokaan kawasan hutan untuk pembinaan kawasan baru juga merupakan antara penyumbang berlakunya banjir kilat di kawasan ini.

“Perkara ini terjadi disebabkan serapan air hujan serta laluan air bawah tanah yang lemah akibat ketiadaan akar pokok besar yang telah ditebang semasa proses pembersihan tanah untuk tujuan pembangunan dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi Malaysia Aktif, di sini kelmarin.

Tambah beliau, kebanyakan mangsa banjir tidak mahu berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara Banjir (PPS) yang disediakan berikutan risau dengan penularan jangkitan wabak COVID-19 dan lebih selesa menumpang di rumah saudara mara yang terdekat.

“Saya telah memaklumkan kepada mereka sekiranya banjir ini berlarutan dan terdapat keperluan untuk berpindah ke PPS, mereka boleh menghubungi saya atau Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) masing-masing dengan kadar segera.

“Hujan lebat selama dua jam itu telah menyebabkan air naik dengan pantas sehingga ke paras betis dan masuk ke dalam rumah, sehinggakan mangsa-mangsa banjir tidak sempat untuk menyelamatkan barang-barang peribadi mereka,” katanya.

Tinjauan yang dilakukan ke kawasan tersebut, sehingga pagi semalam masih terdapat kawasan yang dinaiki air dan dijangka paras air akan kembali naik jika hujan sederhana lebat masih turun berpanjangan.

-NI-

Tinggalkan komen anda