
Laporan/foto: Ezzaty Razimi/Latifah Salleh (Muar)
MUAR, 17 Ogos (Malaysiaaktif) – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah memperkenalkan program Pasar LKIM Bergerak Prihatin Rakyat dalam usaha membantu mengurangkan beban khususnya bagi golongan B40 dan M40.
Menurut Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, program ini yang menggunakan trak bagi menjual barang-barang basah termasuk ikan, sotong, udang serta makanan asas seperti minyak, gula dan garam akan mengunjungi 120 destinasi terpilih.
“Dianggarkan sebuah lori mampu bergerak keenam destinasi dalam tempoh sebulan.
“Secara keseluruhannya, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mampu menggerakkan 20 buah lori ke seluruh negara meliputi zon timur, utara dan selatan,” katanya ketika ditemui pada Program Jualan dan Pelancaran Pasar Nelayan Bergerak Prihatin LKIM, di sini semalam.
Tambahnya, harga jualan yang ditawarkan kepada para pembeli juga lebih rendah di antara 30 hingga 50 peratus jika dibandingkan dengan harga pasaran semasa di pasar raya dan pasar awam.
“Perniagaan secara bergerak ini menjadi salah satu trend terkini selaras dengan perubahan masa dan gaya hidup masyarakat dalam norma baharu.
“Dengan adanya program seumpama ini ia secara tidak langsung dapat meringankan beban golongan B40 dan M40 bagi mendapatkan barangan keperluan asas dan barang-barang basah dengan harga yang lebih rendah dan berpatutan,” ujarnya.
Beliau berkata, program ini juga turut membantu rakyat yang berhadapan dengan kesulitan untuk mendapatkan barangan makanan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih dilaksanakan di negera ini.
Seorang penerima bantuan makanan asas MAFI Prihatin Ismail Md Top, 57, berkata pelaksanaan pasar LKIM Bergerak ini sangat membantu rakyat yang terjejas pendapatan mereka akibat pandemik COVID-19.
“Dengan adanya inisiatif seumpama ini, golongan yang terkesan dapat membeli barangan dengan harga yang murah tanpa perlu berbelanja lebih bagi meneruskan kelangsungan hidup,” tambahnya.
Pada program tersebut, turut diadakan majlis penyerahan simbolik kunci trak pasar nelayan bergerak Prihatin LKIM dan penyampaian bantuan makanan.
-NI-