Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahNegeri Sembilan

MOVAK Bantu Mudah Vaksinasi

By 22 Ogos 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorshazana Shaadan/Leazmi Leman (Port Dickson)

PORT DICKSON, 22 Ogos (Malaysiaaktif) – Inisiatif bersama Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam memastikan rakyat mendapat vaksin wajar dipuji.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN), Zulkifli Hashim, berkata melalui inisiatif KPN bersama KPKT sebanyak 25 buah bas telah diubahsuai sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang kini telah berada di seluruh negara.

“Kesemua PPV Bergerak melalui Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) ini adalah untuk membantu mempercepat kadar vaksinasi dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Daripada maklum balas penerima vaksin khasnya di luar bandar, mereka sangat bersyukur kerana tidak perlu pergi ke PPV awam di bandar yang jaraknya jauh dari rumah mereka,” katanya ketika ditemui dalam Program Outreach Vaksinasi COVID-19 Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuah Bukit Pelandok, di sini semalam.

Tambahnya, JPNIN menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan dengan adanya bas MOVAK ini, pihaknya juga dapat mendampingi komuniti setempat.

Salah seorang warga emas yang sedang menerima vaksin.

Salah seorang warga emas yang sedang menerima vaksin.

“Kita menerima banyak permintaan untuk diadakan MOVAK di Negeri Sembilan ini, namun segalanya tertakluk kepada jumlah vaksin yang disediakan.

“Jadi, JPNIN akan sentiasa berbincang bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk melihat jumlah vaksin yang sedia ada serta bilangan penerima vaksin yang mendaftar di MySejahtera,” katanya lagi.

Zulkifki berkata penyediaan bas MOVAK adalah bergantung kepada kapasiti penerima vaksin pada hari tersebut.

Sementara itu, Penyelaras PICK Daerah Port Dickson Dr. Zulfa Vety Dol Bakri, berkata sebanyak dua lokasi yang dipilih bagi program MOVAK di Port Dickson iaitu di Kg Bukit Pelandok, Chuah dan Taman Siliau Jaya.

“Bagi pelaksanaan MOVAK di Port Dickson, kita menyasarkan penerima vaksin adalah mereka yang bekerja ladang, golongan minoriti iaitu kaum India dan mereka yang tinggal di kawasan sukar untuk keluar.

“Jadi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) datang bersama KPN untuk ke tempat yang sukar ini bagi memberikan suntikan vaksin kepada mereka yang telah disenaraikan,” katanya.

Menjawab mengenai peratusan penerima vaksin bagi dos satu dan dua di Port Dickson, beliau berkata sehingga hari ini sebanyak 112 peratus bagi dos satu dan 92 peratus bagi dos kedua.

Program MOVAK di Port Dickson diharapkan terus meningkatkan peratusan imuniti kelompok yang akan membantu dalam mengurangkan kadar jangkitan penularan wabak COVID-19.

Hadir sama, Pengarah JPNIN Negeri Sembilan, Salasiah Hashim.

– FF

Tinggalkan komen anda