
Laporan/foto: Mazlin Basir/Noor Hidayah Mohd Izam (Batu Pahat)
BATU PAHAT, 23 Ogos (Malaysiaaktif) – Sebanyak 100 bakul makanan diagihkan kepada para pemandu kenderaan yang dikenal pasti terkesan akibat pandemik COVID-19.
Menurut Pengerusi Biro Kebajikan Muhibbah Jawatankuasa Penyelaras Khas Dewan Undangan Negeri (JPKD) Penggaram Hamidi Mad Tap, sumbangan ini bagi membantu meringankan beban golongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19 terdiri daripada pemandu teksi, van jenazah, lori towing, pacuan empat roda, kenderaan Majlis Perbandaran, Jabatan Kerja Raya dan syarikat swasta.
“Ini merupakan salah satu inisiatif yang dilaksanakan oleh JPKD yang diketuai oleh Ketua Whip Majlis Perbandaran Batu Pahat Zaidi Japar bagi membantu mereka yang memerlukannya,” katanya semasa ditemui pada Majlis Pelancaran Program Lambaian Merdeka 2021 di hadapan Pejabat Majlis Perbandaran Batu Pahat, di sini semalam.

Sumbangan Bakul Makanan ini bagi membantu meringankan beban golongan pemandu yang terkesan akibat pandemik – Hamidi Mad Tap
Tambah beliau, pada program tersebut pihaknya turut mengedarkan Jalur Gemilang bagi mengajak orang ramai untuk bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman masing-masing dan di premis perniagaan bagi menyemarakkan lagi sambutan hari kebangsaan pada tahun ini.
Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Batu Pahat Ropie Subari, berkata walaupun negara masih berperang dengan pandemik COVID-19, sebagai rakyat yang cintakan tanah air kita perlu menzahirkan rasa kasih kepada negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan menghormatinya.
“Anak muda sekarang haruslah terus menyemai semangat patriotik dan sentiasa menjaga nama baik negara serta berusaha keras memastikan kelangsungan toleransi antara kaum dan agama yang sedia ada dapat dikekalkan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Batu Pahat turut memasang bendera pada kenderaan-kenderaan yang terlibat.
“Setiap tindakan yang dibuat jangan terlalu mengikut emosi dan mudah terpedaya dengan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba membawa impak yang negatif serta merosakkan perpaduan dan keamanan negara,” ujarnya.
Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Batu Pahat Kamalludin Jamal dan Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Khas DUN Penggaram (JPKD) Zaidi Japar.
-NI-