Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Tarikh 31 Ogos Jadi Kebanggaan

By 28 Ogos 2021September 10th, 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh (Tanah Merah)

TANAH MERAH, 28 Ogos (Malaysiaaktif) – Menjadi sebahagian daripada hari bersejarah negara merupakan sesuatu yang amat bermakna bagi Nurfaizilawati Mohd Nazri, 26, ini kerana pada tanggal sambutan Hari Kemerdekaan negara beliau dilahirkan.

Nurfaizilawati Mohd Nazri, ibu kepada sepasang cahaya mata bersyukur dapat meraikan tarikh lahir bersama-sama sambutan Hari Kemerdekaan walaupun sedikit suram dengan suasana masyarakat berhadapan wabak pandemik COVID-19 ketika ini.

“Setiap kali terpandang Jalur Gemilang berkibar megah, di mana saja perasaan saya seronok dan teruja yang teramat sangat.

“Saya dapat berkongsi tarikh keramat negara dalam meraikan kemeriahan menyambut hari kemerdekaan dan turut sama meraikan hari kelahiran saya,” katanya yang ditemui sempena program hebahan Jabatan Penerangan (JaPen) di Kampung Batu Hitam Dalam, di sini kelmarin.

Suaminya Mohd Firdaus Mustapha, 27, turut berbangga isterinya lahir pada tarikh kemerdekaan negara walaupun tidak menyangka pada mula berkahwin dulu.

Nurfaizilawati bersama anak sulungnya Nurfariesya Qaisara, empat tahun mengibar Jalur Gemilang.

Nurfaizilawati bersama anak sulungnya Nurfariesya Qaisara, empat tahun mengibar Jalur Gemilang.

“Kami meraikannya bersama anak-anak demi mengeratkan kasih sayang, semoga hubungan ini kekal selamanya,“ ujarnya.

Bagi ibu kepada Nurfaizilawati, Shamsiah Yusof, 61, beliau sangat terharu dan berbangga apabila melahirkan anak ketiga daripada tujuh beradik pada tarikh tersebut.

Nurfaizilawati dan keluarga antara penerima sumbangan barangan keperluan harian dan Jalur Gemilang sempena program tersebut yang turut melibatkan beberapa penduduk di kampung itu.

Menurut Pegawai Penerangan Tanah Merah Sanusi Ariffin, kerajaan telah mengadakan pelbagai kempen dan aktiviti dalam menyemai serta memupuk semangat patriotik dalam kalangan rakyat terutama generasi muda agar mereka tetap berjiwa merdeka cintakan negara.

“Pelbagai aktiviti telah diatur oleh JaPen menjelang 31 Ogos supaya semangat cintakan negara dengan amalan prisip rukun negara dihayati.

“Kemajuan, kemakmuran dan keharmonian di negara ini wajib dipertahankan, jika ada yang cuba mencetus kekacauan sama-sama kita tangani.

-RI

Tinggalkan komen anda