
Laporan/foto: Norhasirah Deris (Marang)
MARANG, 30 Ogos (Malaysiaaktif) – Jabatan Perikanan Negeri Terengganu menyerahkan beberapa bantuan kepada warga tani, nelayan dan penternak secara pandu lalu bagi memudahkan golongan yang terkesan semasa pandemik COVID-19 kepada beberapa golongan iaitu nelayan dan petani serta pergerakan penerima yang masih di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2, terkawal.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terangganu Dr. Azman Ibrahim, berkata hasrat kerajaan negeri kini berjaya dilaksanakan dengan kerjasama pasukan daripada Jabatan Perikanan Negeri yang bertungkus-lumus menjayakan program ini.
“Program lima dalam satu di mana penyerahan lesen sampan nelayan, bantuan peralatan menangkap ikan, kerja-kerja melabuh unjam, bantuan sekali beri COVID-19 sektor pertanian dan bakul makanan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).
“Seawal pukul 8 pagi, para penerima lesen sampan dan bantuan lain telah diarah mendaftar dan beratur dalam kenderaan masing-masing mengikut waktu temujanji yang ditetapkan.
“Agihan kali ini diserahkan lesen kepada 84 penerima yang mendapat kelulusan daripada 111 permohonan dan wakil daripada beberapa pengkalan di Daerah Marang seperti Pengkalan Kuala Marang, Pasir Putih, Gong Balai hadir secara pandu lalu untuk menerima lesen,” katanya setalah menyampaikan bantuan dan lesen kepada penerima di Pengkalan Nelayan Merchang, di sini semalam.
Jelasnya, Marang juga merupakan daerah yang terbesar dengan kelulusan lesen sebanyak 111 permohonan.
“Selepas proses pemutihan dilakukan untuk pengeluaran lesen, hanya 84 penerima telah layak dan bakinya masih dalam proses penyelesaian.
“Kita juga menyampaikan bantuan sekali beri sebanyak RM500 kepada empat orang yang terdiri daripada tiga warga tani dan seorang nelayan yang positif COVID-19 sebelum ini dan alhamdulillah telah disahkan sihat,” katanya.
Katanya, banyak manfaat dengan adanya lesen sampan terutama kepada mereka terkesan dengan pandemik COVID-19.

ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong menyerahkan kotak makanan kepada penerima yang terkesan dengan pandemik COVID-19.
Tambah beliau, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM300,000 bagi melaksanakan bantuan peralatan menangkap ikan seperti pemerun gema (fish finder), peralatan memancing, kawat bubu dan pukat tangsi kepada 78 orang penerima.
“Semua program ini sudah disusun atur walaupun terpaksa dilakukan dalam skala yang kecil, ianya tetap diteruskan, manakala bantuan kotak makanan sumbangan MAFI pula diserahkan kepada 25 orang penerima dan penyerahan bantuan- bantuan ini dilaksanakan juga bagi membantu golongan nelayan dan petani yang menghadapi kekangan dalam fasa PPN ini,” katanya sebelum turun ke laut untuk melihat kerja-kerja melabuhkan 40 unjam dilakukan.