
Laporan/foto: Norfarhana Mohd Zainal Abidin (Petaling)/Farhan Abdullah (Putrajaya)
SERDANG, 31 Ogos (Malaysiaaktif) – Seramai kira-kira 800 petugas harian Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Bersepadu di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) 2.0 berkongsi semangat menyambut Hari Kebangsaan bagi tahun 2021 dengan memakai pakaian berwarna Jalur Gemilang semenjak semalam.
Idea ini tercetus hasil perbincangan antara jawatan kuasa kerja Sambutan Hari Merdeka PKRC Bersepadu MAEPS 2.0, Unit Khidmat Sokongan Mental dan Psikososial (MHPSS) dan Pusat Media Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Selangor bertujuan menggelorakan semangat bulan Kebangsaan di kalangan petugas barisan hadapan sambil mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda solidariti melawan pandemik COVID-19.

Pengarah PKRC Bersepadu MAEPS 2.0, Dr. Shahabuddin Ibrahim ketika ditemui di Dewan D2, PKRC Bersepadu MAEPS 2.0.
Pengarah PKRC Bersepadu MAEPS 2.0, Dr. Shahabuddin Ibrahim ketika ditemui meluahkan rasa bersyukur dan terharu atas kerjasama dan semangat yang ditunjukkan oleh semua petugas barisan hadapan dari pelbagai agensi dalam menjayakan sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini.
“Kita dapat lihat semua petugas di sini meraikan Hari Kemerdekaan Negara kita dengan menyahut cadangan memakai pakaian bertemakan warna Jalur Gemilang iaitu merah, putih, biru dan kuning sambil mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga di seluruh kawasan PKRC Bersepadu MAEPS 2.0.
“Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh warga kerja di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 yang telah menyumbang segenap tenaga dalam sama-sama membantu mendepani pandemik COVID-19 dan semoga semua terus bersemangat untuk meneruskan perjuangan ini,” ujarnya.
Menurut Dr. Shahabuddin, sambutan Bulan Kebangsaan di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 pada tahun ini disambut secara sederhana namun meriah dengan penglibatan oleh semua agensi.
“Sejak awal bulan Ogos yang lalu, semua agensi telah mula mengibarkan Jalur Gemilang di ruang kerja masing-masing termasuklah di pengangkutan seperti trem dan bugi yang digunakan untuk membawa petugas di sekitar PKRC Bersepadu MAEPS 2.0.
“Begitu juga dengan kesemua tujuh buah dewan yang menempatkan pesakit COVID-19 turut dihiasi Jalur Gemilang semenjak beberapa minggu yang lalu,” katanya.
Dr. Shahabudin berkata, PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 juga turut menyediakan kain rentang solidariti petugas barisan hadapan PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 bertujuan mengumpulkan tandatangan petugas barisan hadapan dalam solidariti memerangi pendemik COVID-19 bersama-sama.
“Pihak MHPSS juga turut mengadakan pertandingan Video Pendek Kemerdekaan khas untuk agensi dan petugas barisan hadapan di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 dalam usaha menyemarakkan lagi Sambutan Bulan Kebangsaan di sini.
“Walaupun negara masih berdepan dengan penularan pandemik COVID-19, semangat kemerdekaan perlu terus utuh dalam jiwa setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, bangsa dan agama kerana melalui kemerdekaan, semangat patriotik dan cintakan negara akan terus kekal dalam jiwa setiap rakyat Malaysia dalam lebih menghargai erti sebuah kebebasan,” tambahnya.
-RI