
Laporan/foto: Mohd Hafiz Mat Nor/Mohd Haniff Tukija (Sabak Bernam)
SABAK BERNAM, 1 Sep (Malaysiaaktif) – Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Daerah Sabak Bernam mengagihkan sejumlah 1,500 Jalur Gemilang kepada penduduk setempat bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan yang disambut semalam.
Pegawai Penerangan Daerahnya Ahmad Yaacob, berkata program itu dilaksanakan menerusi unit hebahan di 15 lokasi sekitar daerah berkenaan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Agihan ini dibantu sukarelawan yang mengedarkan Jalur Gemilang terikat dengan SOP seperti penggunaan pelitup muka, penjarakan fizikal serta kerap menggunakan cecair pembasmi kuman.
“Program ini bertujuan menyemarakkan semula semangat patriotik dalam kalangan masyarakat yang mungkin suram akibat wabak COVID-19 yang melanda negara.
“Kita harap kempen kibar Jalur Gemilang ini menjadi pembakar semangat untuk kita semua bukan sahaja dalam kalangan kakitangan kerajaan tetapi semua penduduk daripada pelbagai latar belakang supaya tidak melupakan ulang tahun kemerdekaan negara,” katanya yang ditemui selepas program di pejabatnya, di sini semalam.
Jelas beliau, kempen itu juga adalah wadah terbaik untuk memberi inspirasi kepada rakyat terutama generasi muda supaya menghargai dan mengekalkan keamanan tanah air.
“Kita perlu sentiasa sedar dan melaksanakan tanggungjawab kita sebagai rakyat terutama dalam kita menghadapi pandemik COVID-19.
-RI