Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Hari Kebangsaan Turut Dirai Peminat Boboiboy di Seluruh Dunia

By 3 September 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Facebook Boboiboy

PUTRAJAYA, 3 Sep (Malaysiaaktif) – Hari Kebangsaan yang disambut Selasa lepas bukan sahaja diraikan anak Malaysia, tetapi juga peminat siri animasi BoBoiBoy di seluruh dunia melalui pertandingan mewarna bertemakan Hari Kebangsaan yang dianjurkan secara dalam talian oleh syarikat harta intelek dan watak, Monsta.

Menurut Monsta dalam kenyataan hari ini, pertandingan mewarna yang diberi nama #TemaMerdekaMalaysia itu bermula 25 Ogos lepas hingga 25 September ini.

Pertandingan itu berjaya mendapat sambutan hangat dari dalam dan luar negara termasuk Indonesia, Vietnam, Filipina, Singapura, India, Greece, Emiriah Arab Bersatu, Bangladesh dan beberapa negara lain dengan hampir 500 penyertaan diterima pada minggu pertama.

“Kami amat teruja apabila dapat melihat para peserta menggunakan peluang yang diberikan dalam peraduan mewarna ini untuk mencipta corak samping dan tengkolok BoBoiBoy dengan pelbagai gaya yang tersendiri, sesuai dengan tema nusantara mengikut kreativiti dan imaginasi masing-masing,” kata Ketua Jenama dan Pemasaran Antarabangsa Monsta Faiz Zainal Aabidin dalam kenyataan itu.

Terdapat empat kategori umur yang boleh menyertai pertandingan itu bermula daripada empat hingga enam tahun, tujuh hingga 12 tahun, 13 hingga 17 tahun dan 18 tahun ke atas.

Seramai 15 pemenang akan membawa pulang set barangan eksklusif ‘BoBoiBoy Beyond 10’ daripada Monsta bersempena ulang tahun BoBoiBoy yang ke-10 tahun ini.

Syarat penyertaan boleh didapati di media sosial rasmi BoBoiBoy dan peserta boleh menghantar hasil mewarna dengan memuat naik gambar tersebut di akaun media sosial Facebook, Instagram atau Twitter masing-masing.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda