
Laporan/foto: Nurul Jannah Shamsol Anuar (Melaka Tengah) /Facebook Ketua Menteri Melaka
MELAKA, 4 Sep (Malaysiaaktif) – Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) melancarkan Program Mobalisasi Khidmat Bantuan Belia Prihatin COVID-19 bagi menyantuni golongan belia yang terjejas pendapatan akibat pandemik.
Ketua Menterinya Sulaiman Md Ali, berkata program ini lebih menumpukan kepada bantuan atau sumbangan khusus buat para belia yang terkesan sejak pandemik COVID-19 melanda.
“Harapan saya agar lebih banyak agensi, syarikat dan orang perseorangan dapat bersama-sama menghulurkan sumbangan dan bantuan menerusi Program Mobalisasi Khidmat Bantuan Belia Prihatin COVID-19 ini,” ujarnya ketika melancar program tersebut di Dewan Seri Bendahara Ayer Keroh, di sini semalam.
Menurut Presiden MGBM Mohd Ridhwan Tun Mohd Ali, pertubuhan ini telah memberi manfaat kepada 1960 keluarga membabitkan golongan belia yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
“Sebanyak 600 kit makanan disumbangkan oleh pihak MyFundAction yang turut bekerjasama dengan MBGM, untuk diagihkan kepada pelajar-pelajar di institusi awam dan swasta di negeri ini,” ujar Mohd Ridhwan.
Turut hadir EXCO NGO Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Melaka Mohd Rafiq Naizamohideen, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka Noorman Ramlan, dan Ketua Pegawai Perhubungan Luar MyFundAction Isma Fildza Hazry Ismail.
-FF