Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlisViral

Sampah: MB Ajak Rakyat Perlis Amal Kitar Semula

By 1 Ogos 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan dan Foto oleh: Anuar Che Amat (Kangar)

KANGAR, 1 Ogos (Malaysiaaktif) – Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man semalam menyeru penduduk Perlis supaya mengubah gaya hidup dengan meningkatkan amalan pengurusan sisa pepejal.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program EkoFamili 2017 Peringkat Negeri Perlis, di sini.

“Kita perlu membuat anjakan minda dan mengubah gaya hidup masyarakat dalam isu- isu pemuliharaan alam sekitar khususnya dalam meningkatkan amalan pengurusan sisa pepejal.

“Program yang diadakan ini sangat bagus dan diharap mencapai matlamat untuk mendidik masyarakat mengamalkan gaya hidup 3R (Reduse, Reuse dan Recycle) dalam kalangan keluarga serta komuniti,” katanya.

Jelasnya, rakyat Malaysia membuang 40,566 tan sisa pepejal setiap hari menjadikannya 14.8 juta tan setahun pada 2016, meningkat sebanyak 2,000 tan sehari berbanding 2015.

“Perkara ini berlaku berdasarkan kepada kadar pertumbuhan penduduk, peningkatan tahap sosio ekonomi serta perubahan gaya hidup masyarakat masa kini dan kadar itu dijangka meningkat kepada 49,070 tan sehari pada tahun 2020,” katanya Azlan.

Menurut Azlan, pihak kerajaan terpaksa membelanjakan sebanyak RM2.2 billion setahun bagi menguruskan sisa pepejal dan statistik pada 2016 menunjukkan kira-kira 15 peratus rakyat Malaysia sahaja yang mengamalkan kitar semula iaitu masih jauh daripada sasaran 22 peratus yang ditetapkan kerajaan pada 2020.

“Fenomena kita membuang sampah di merata-rata tempat sudah menjadi satu kebiasaan bukan sahaja rakyat di negeri lain malah di negeri Perlis pun serupa kerana kita sudah terbiasa dengan sikap seperti membuang sampah diluar dari kenderaan dan membuang botol air ke dalam longkang serta sungai,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Dr Siti Norlasiah Ismail memberitahu bahawa Program EkoFamili ini adalah cetusan daripada hasil penemuan Kajian Indeks Kesejahteraan Keluarga (IKK) 2016.

IKK 2016 yang dijalankan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), bertujuan untuk mengukur tahap kesejahteraan keluarga di Malaysia melalui domain-domain yang telah dikenalpasti.

“Daripada 8 domain IKK tersebut, domain Perumahan dan Persekitaran yang mengandungi eleman amalan 3R dan perjagaan alam sekitar didapati berada pada paras sederhana.

“Sehubungan dengan itu, program intervensi EkoFamili diperkenalkan semula pada tahun ini sebagai salah satu intervensi program Pemerkasaan Keluarga dan Komuniti atau Family And Community Empowerment (FACE) yang akan dilaksanakan di 14 komuniti terpilih di seluruh Negara, termasuk Kampung Nesam ini,” jelasnya.

– AH

Tinggalkan komen anda