Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeKuala LumpurViralWilayah Persekutuan

Residensi RAH – Ke Arah Pemodenan Kampung Baru

By 31 Julai 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan Foto oleh : Mohd Anuar Ibrahim & Sazaki Abd Rahman (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Malaysiaaktif) – “Projek Residensi RAH yang dilaksanakan atas inisiatif pelaksanaan pembangunan semula Kampung Baru merupakan projek yang menjadi permulaan kepada pemodenan Kampung Baru.”

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata demikian pada Majlis Pelancaran Projek Residensi RAH, di sini hari ini.

“Dengan terlaksananya projek Residensi RAH ini, kita dapat melihat pembangunan semula Kampung Baru dan kita tidak mahu bangsa Melayu dilihat sebagai bangsa yang menolak kemajuan dan selesa hidup dalam kemunduran,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif RAH Properties Corp Sdn Bhd, Datuk Haji Abdul Rahim Mohd Ibrahim memberitahu bahawa projek Residensi RAH ini mendapat tentangan hebat pada peringkat permulaan, di samping permasalahan tanah persendirian dan harta pusaka.

“Kini penduduk Kampung Baru sudah dapat menerima kenyataan bahawa projek yang dilaksanakan RAH Properties ini merupakan satu usaha untuk membangunkan semula Kampung Baru di samping dapat meningkatkan ekonomi dan taraf hidup bangsa Melayu,” katanya.

Projek Residensi RAH ini merupakan projek pembangunan 1 blok Pangsapuri 39 tingkat dan terdiri daripada 187 buah unit kediaman berkeluasan 3,310 kaki persegi yang mencantumkan tanah milik RAH Properties dan 28 pemilik tanah yang lain.

Projek yang dibina di atas hartanah pegangan bebas rizab Melayu ini dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2019 dengan menawarkan keluasan rumah minima 1,151 kaki persegi dan dijual pada harga permulaan RM 622,461.00 seunit.

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (tengah), bersama Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (dua dari kiri), Datuk Abdul Rahim Mohd Ibrahim dan Pengerusi Eksekutif RAH Properties Corp Sdn Bhd (kanan) turut bersama dalam gimik perasmian Residensi RAH.

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (tengah), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (dua dari kiri), Datuk Abdul Rahim Mohd Ibrahim dan Pengerusi Eksekutif RAH Properties Corp Sdn Bhd (kanan) turut bersama dalam gimik perasmian Residensi RAH.

Residensi RAH ini turut menyediakan pelbagai kemudahan kepada pemilik seperti dua petak parkir kereta untuk setiap unit rumah, kolam renang serta taman permainan di tingkat 10, kawalan keselamatan berserta CCTV serta akses mudah ke Jalan Sultan Ismail, Lebuhraya AKLEH dan Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampung Baru, Datuk Affandi Zahari.

– AH

Tinggalkan komen anda