Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomeKedah

Bunga Beg Plastik; Daripada Hobi ke Pendapatan Sampingan

By 19 Oktober 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan/foto: Fasharina Kholil (Sik)

SIK, 19 Okt (Malaysiaaktif) – Lazimnya beg plastik akan dibuang selepas digunakan ataupun paling tidak akan diguna semula untuk mengisi barang ataupun sampah.

Namun begitu, berbekalkan kemahiran serta kesungguhan, siapa sangka kraftangan daripada mengitar semula barangan terbuang seperti beg plastik mampu menjana pendapatan sampingan buat seorang suri rumah.

Habibah tekun menyiapkan tempahan daripada pelanggan di rumahnya.

Habibah tekun menyiapkan tempahan daripada pelanggan di rumahnya.

Menurut Habibah Hiyati, 27, bermula sekadar untuk mengisi lapang, dia mempelajari cara membuat bunga ini melalui Youtube serta carian di internet.

“Mulanya saya cuba buat sendiri tapi disebabkan kurang berpuas hati dengan hasilnya, saya cuba belajar daripada internet. Selepas beberapa kali mencuba, barulah terhasil bunga plastik seperti yang saya inginkan,” ujar Habibah.

Habibah yang berasal dari Kampung Hujong Bandar di sini menambah dia tertarik dengan beg plastik kerana keceriaan warnanya di samping teksturnya yang lembut dan memikat.

Ujarnya lagi, tidak pernah terlintas di fikirannya bunga hiasan di ruang tamu rumahnya, menjadi perhatian jiran tetangga serta sahabat handai.

“Bermula daripada itulah saya mula mengambil tempahan serta mula mempromosikannya melalui Facebook serta aplikasi Whatsapp.

“Dalam seminggu saya memperolehi di antara RM50 hingga RM100 bergantung pada jumlah tempahan,” ujarnya lagi.

Beg plastik mudah dibentuk kerana teksturnya yang lembut selain daripada warnanya yang menarik.

Beg plastik mudah dibentuk kerana teksturnya yang lembut selain daripada warnanya yang menarik.

Jelasnya lagi, tempahan yang diterima bukan saja daripada orang perseorangan bahkan ada juga jabatan kerajaan mahupun sekolah yang membeli untuk dijadikan cenderahati kepada tetamu jemputan.

Selain daripada bunga hiasan yang siap digubah, Habibah turut menerima tempahan bunga telur untuk majlis keraian seperti kenduri kahwin, khatam al-Quran serta lain-lain.

“Siapa sangka kita boleh menghias rumah dengan kos yang murah seperti beg plastik. Secara tidak langsung kita juga boleh mengitar semula bahan terbuang dan mengurangkan pencemaran,” jelasnya lagi.

Habibah turut berharap satu hari nanti dia dapat mengembangkan lagi perniagaan ini di samping menjadi inspirasi kepada suri rumah yang lain.

-SH

Tinggalkan komen anda