Skip to main content
Berita TempatanHomeKuala LumpurSains & Teknologi

Sebanyak 10,190 Sekolah Dibekal Perkhidmatan Capaian Internet – Maszlee

By 11 Disember 2018Mei 7th, 2019Tiada komen2 minit bacaan

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Malaysiaaktif) – Kementerian Pendidikan telah membekalkan perkhidmatan capaian internet di 10,190 sekolah seluruh negara, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 9,786 atau 96 peratus sekolah iaitu 6,684 sekolah luar bandar dan 3,102 sekolah bandar telah dibekalkan dengan perkhidmatan Program 1BestariNet.

“Manakala 404 atau empat peratus sekolah, iaitu 375 sekolah luar bandar dan 29 sekolah bandar dibekalkan dengan capaian internet dari pembekal internet lain seperti TM dan Maxis,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) mengenai rungutan terdapat sekolah terutamanya di luar bandar yang belum mendapat capaian penuh internet di bawah Program 1BestariNet.

Menurut beliau, kebanyakan sekolah di luar bandar yang menerima capaian internet rendah di bawah Program 1BestariNet adalah kerana lokasi sekolah terletak di luar liputan ‘backhaul fiber’.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata, kadar kelajuan internet bagi sesebuah sekolah bergantung kepada pelbagai faktor, antaranya enrolmen pelajar, saiz sekolah, bilangan makmal komputer, faktor geografi serta kedudukan kewangan kerajaan.

“Kerajaan sedar terdapat 1,578 sekolah yang menghadapi masalah capaian internet rendah terutamanya sekolah di luar bandar dan di kawasan pedalaman kerana masih bergantung kepada teknologi ‘Very Small Aperture Terminal’ (VSAT).

“Bagaimanapun kementerian sedang menyemak semula Program 1BestariNet menerusi kajian keberkesanan dan hala tuju yang pertama kali dilakukan oleh Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi dan Komunikasi (MIMOS) dan kini dilakukan oleh jawatankuasa third party (pihak ketiga) yang dianggotai oleh pakar-pakar dari beberapa institusi pengajian tinggi.

“Tujuan kajian tersebut dijalankan adalah untuk melihat keberkesanan Program 1BestariNet merangkumi keperluan jalur lebar pada masa hadapan,” katanya.

Maszlee berkata, laporan akhir kajian tersebut akan dibentangkan kepada pihak berkepentingan dan digunakan untuk menghasilkan pelan persekitaran yang lebih inovatif dengan mengintegrasikan teknologi yang bersesuaian bagi meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di sekolah. – BERNAMA

Tinggalkan komen anda