Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeKuala LumpurPutrajaya

Program Tingkat Semangat Patriotisme Rakyat Disusun – Gobind

By 11 Disember 2018Tiada komen1 minit bacaan

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Malaysiaaktif) – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan menganjurkan pameran kenegaraan di 15 lokasi di seluruh negara untuk meningkatkan tahap semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata pameran itu akan dilaksanakan menerusi agensi-agensi di bawah kementerian berkenaan tahun hadapan.

“Kementerian dalam aspek menyemarakkan semangat patriotik turut merancang melaksanakan libat urus dengan generasi muda melalui program seperti Program Kelab Malaysiaku, Program Pewaris Negara dan Sketsa Rukun Negara,” katanya ketika sesi soalan lisan di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Hanafi Mamat yang ingin tahu program yang akan dilaksanakan untuk meningkatkan semangat patriotisme dan sayangi negara.

Gobind berkata kementerian turut merancang program seperti Pertandingan Pidato Kenegaraan, Pertandingan Pengisahan Kenegaraan, Kem Aspirasi, Forum Apa Kata Anak Malaysia dan Diskusi Demokrasi Berparlimen.

Beliau berkata kerajaan akan sentiasa menerbitkan bahan penerbitan dasar kerajaan dan input kenegaraan serta perpaduan antara kaum untuk edaran orang ramai.

“Edaran untuk orang ramai itu adalah dalam bentuk buku, buku kecil, coffee table book, majalah, buletin dan buku digital,” katanya. – BERNAMA

Tinggalkan komen anda