Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Suka Duka Menjulang Pendidikan Muzik

By 31 Januari 2019Tiada komen4 minit bacaan

Laporan/foto: Mahdini Jaini (Sarawak)

KUCHING, 31 Jan (Malaysiaaktif) – Persepsi sinis yang pernah dilemparkan terhadap beliau kerana memilih untuk memperkembang potensi muzik sebagai jalan kerjayanya suatu ketika dahulu tidak pernah sekalipun mematahkan semangat beliau bagi membuktikan kepada masyarakat bahawa bidang muzik juga seiktiraf dengan bidang kerjaya profesional yang lain.

Berbekalkan minat mendalam sejak kecil terhadap muzik diiringi keazaman yang tinggi untuk terus maju dalam kehidupan, Ketua Pegawai Eksekutif Prodigy Music Centre, Sharnaz Saberi, 35 telah membuka mata banyak pihak dalam usaha gigih beliau memperkasa pendidikan muzik di kalangan anak muda di Sarawak. 

Nadwa sedang memeriksa rekod di ruang pejabat beliau

Nadwa sedang memeriksa rekod di ruang pejabat beliau

“Ilham menubuhkan akademi Prodigy ini bermula pada tahun 2009  setelah saya melihat sesi bual bicara  Oprah Winfrey berkaitan siapakah kita pada 10 tahun akan datang. Ketika itu saya masih menjadi tenaga pengajar di salah sebuah institusi muzik terkemuka di Kuching dan saya mula terfikir mengapa tidak saya memiliki akademi muzik sendiri dengan hasrat untuk memberi ruang kepada anak muda khususnya dari golongan Bumiputera Sarawak mempelajari bidang muzik secara formal. Perjalanan menubuhkan Prodigy ini bukanlah mudah, Bermula dengan menggunakan ruang tamu rumah ibu bapa saya untuk mengajar 3 orang pelajar sahaja, kini Prodigy telah memiliki bangunan sendiri di Lorong Tunku, Jalan Astana, Kuching dengan jumlah pelajar mendaftar hampir 200 orang. Meskipun pernah menerima sindiran menyatakan usaha membuka akademi muzik ini hanya mampu bertahan paling lama setahun namun Alhamdulillah akhirnya Prodigy telah beroperasi hampir 9 tahun”, kata Sharnaz yang memiliki ijazah Sarjana Pendidikan Muzik dan memiliki kepakaran profesional dalam seni instrumen piano.

Gambar Sharnaz (depan paling kiri)mewakili negeri Sarawak bersama rombongan Smart Business Leaders ke Berlin pada tahun 2017

Gambar Sharnaz (depan paling kiri)mewakili negeri Sarawak bersama rombongan Smart Business Leaders ke Berlin pada tahun 2017

Berpegang kepada motto “Visualize, Affirm, Achieve”, beliau yang turut memiliki Ijazah Sarjana Muda Kimia lulusan UNIMAS dan bekas pemenang tempat ketiga Pengacara Jemputan Nona 2008 serta pernah menjadi pengacara program ‘Nang Rindok’ di TV1 RTM ini telah melakar banyak kejayaan manis bersama Prodigy. Antaranya beliau pernah terpilih mewakili Sarawak dalam rombongan Ketua-ketua Pegawai Eksekutif seluruh Malaysia tajaan kerajaan Malaysia ke Berlin, Jerman pada tahun 2017. Sharnaz juga pernah menghasilkan sebuah lagu patriotik yang pernah dinyanyikan oleh bekas Ratu Cantik Dunia Malaysia 2014 Dewi Liana Seriestha, berjaya menganjurkan konsert orkestra muzik Prodigy sebanyak dua kali melibatkan ratusan anak didiknya.  Manakala inisiatif murni beliau memperkembang pendidikan muzik kepada generasi muda tidak kira bangsa dan agama melalui Prodigy di Sarawak telah melayakkan programnya memperoleh geran sokongan daripada kerajaan negeri.

Menurut Pengetua akademi muzik tersebut iaitu Noor Azeema Nadwa, 32, beliau merupakan pekerja Prodigy paling lama berkhidmat sejak ianya mula beroperasi pada tahun 2010. Faktor utama kesetiaan beliau bersama Prodigy adalah kerana sikap Sharnaz yang sentiasa memahami dan meraikan idea para pekerja menerusi  pelaksanaan waktu kerja yang fleksibel dan mengutamakan keharmonian dalam kerja berpasukan.

“Semasa anak pertama saya masih kecil, saya sering membawanya ke pejabat Prodigy dan Sharnaz tidak pernah menghalang malah menyokong penuh kerana beliau amat mementingkan elemen ‘women empowerment’ dan kekeluargaan dalam menggerakkan team Prodigy yang sebahagian besarnya terdiri daripada kaum wanita. Saya juga teruja untuk sentiasa bersama menyokong hasrat Prodigy melahirkan anak-anak muda yang bukan sahaja berbakat dalam bidang muzik tetapi turut memiliki nilai positif dalam kehidupan”, ujar Nadwa.

Bekas pelajar Prodigy, Alisha yang kini merupakan pelajar jurusan perubatan di Universiti Dublin, Ireland turut mengakui pengalamannya belajar muzik di Prodigy banyak membantu beliau mengasah potensi peribadi beliau.

“Perjalanan  mempelajari ilmu muzik di Prodigy telah membentuk sahsiah diri yang baik dalam diri saya dan segala kenangan manis di situ membuatkan saya amat berterima kasih kepada Puan Sharnaz atas segala ilmu dan jasa baiknya”, kongsi beliau.

Selain anak-anak muda Bumiputera Sarawak, Prodigy turut disertai oleh para pelajar yang berasal daripada pelbagai negara antaranya Korea, Jepun dan Brunei yang menetap di sekitar Kuching. Cara pengambilan pelajar ke akademi muzik tersebut adalah menerusi uji bakat dan antara yang sering mendapat sambutan adalah kelas bermain piano dan violin.

Sharnaz merupakan pengasas akademi muzik wanita Bumiputera yang pertama di Sarawak dan merupakan salah seorang Ahli Majlis Wanita Sarawak. Beliau yang telah berkahwin dan memiliki tiga cahayamata ini mengakui sokongan penuh daripada keluarga terutamanya suami, ibu bapanya dan keluarga mertua banyak membantu beliau untuk terus positif untuk  menjadikan Prodigy sebagai pusat pembelajaran muzik yang bersifat universal. 

Hasrat beliau adalah untuk menjadikan muzik sebagai medium yang menyatukan semua bangsa dan agama dalam keharmonian. Sharnaz turut mengimpikan lebih ramai anak-anak muda Bumiputera Sarawak yang meminati muzik mampu memperoleh pendidikan formal dalam bidang muzik. Niat murni Sharnaz itu dizahirkan menerusi inisiatif Prodigy  menyediakan pakej pendidikan secara percuma kepada mana-mana anak muda jati Sarawak yang berasal daripada golongan ibu bapa yang memiliki pendapatan isi rumah di bawah RM1500. 

 

Tinggalkan komen anda