Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Keadaan Terkawal dan Kerja Pembersihan diteruskan – Teng Chang Khim

By 16 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto : Ariffin Ahmad (Klang) & Mohamad Zairin Mohamad Zin (Selangor)

KLANG, 16 Mac (Malaysiaaktif) – “Kita mendapati ada kesan-kesan tumpahan di kolam takungan ini tetapi air yang tercemar ini tidak mengalir keluar dan keadaan masih terkawal dan kerja-kerja pembendungan sedang dilakukan di mana dua cara digunakan iaitu “oil containment boom” dan “oil containment pad” dan itu dilakukan di kawasan salirannya iaitu di longkang-longkang dan di parit-parit untuk menyekat dan menyerap sisa pencemaran tersebut”, ujar Ahli Dewan Negeri Bandar Baru Klang, Dato’ Teng Chang Khim ketika sidang media selepas melawat kolam takungan banjir di Taman Eng Ann, Klang yang telah dicemari oleh sisa minyak pagi tadi.

Beliau yang juga merupakan EXCO negeri Selangor memberi jaminan kepada penduduk sekitar bahawa keadaan masih terkawal dan kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan dan untuk di kawasan kolam takungan tersebut, beliau menyatakan pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sedang menunggu laporan forensik untuk menentukan tindakan yang sesuai untuk diambil bagi membersihkan kolam ini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang telahpun berjaya memainkan peranan sebagai mata dan telinga kerajaan untuk melaporkan perkara ini dalam masa singkat dan saya menyeru kepada yang berada di luar sana untuk terus memainkan peranan sebegini supaya tindakan segera dapat diambil sekiranya berlaku” tegas Teng.

Keadaan terkini Kolam Takungan Banjir di Taman Eng Ann, Klang

Keadaan terkini Kolam Takungan Banjir di Taman Eng Ann, Klang

“Sebanyak 21 jenis bahan kimia telahpun dikesan dan kita akan menunggu nasihat tindakan yang sebaiknya yang boleh diusahakan oleh pihak LUAS bagi membersihkan kolam takungan ini 100%”, ujar beliau.

Menurut beliau lagi, “pencemaran ini tidak mengalir ke Sungai Klang di mana kunci air Bukit Kuda telah ditutup sejak semalam bagi mengelakkan sisa pencemaran ini mengalir ke sana dan kerja-kerja pembersihan ini sedang giat dilakukan dan dilakukan 24 jam secara terus menerus bermula semalam”.

“Saya berharap orang awam dapat memberikan maklumat sehingga kita dapat mengesan dan mendakwa pihak yang tidak bertanggungjawab ini”, tegas beliau. Dalam sidang media yang sama, Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Alam Sekitat (JAS), Zuraini Ahmad Tajudin memaklumkan kes ini disiasat dibawah Seksyen 25 Akta Kualiti Air Alam Sekeliling 1974.

“Jika disabitkan kesalahan, individu atau syarikat terlibat boleh didenda RM100,000 atau penjara maksima lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali”, tegas Zuraini.

Turut hadir sama, Pengarah LUAS, Datuk Ir. Hashim Bin Osman dan Ketua Polis Balai Bandar Baru Klang, ASP Harun Abu Bakar.

Semalam, terdapat pembuangn sisa-sisa disyaki bahan kimia ke dalam kolam takungan banjir Taman Eng Ann, Klang pada sebelah petang. Kejadian tersebut telah dilaporkan dan pasukan penyelamat atau “response team” telah sampai di tempat kejadian 30 minit selepas laporan dibuat. Setakat ini, keadaan masih terkawal dan kerja-kerja pembersihan sedang giat dilakukan.

-NAZ

Tinggalkan komen anda