Peserta Video Pendek Integriti Boleh Dapat Geran RM5,000

Geran FINAS

 

Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa / Foto: Fariz Faizal Mohd Nazri

KUALA LUMPUR, 19 Apr (Malaysiaaktif) – Peserta Pertandingan Video Pendek Integriti berpeluang mendapat pembiayaan berbentuk geran sehingga RM5,000 menerusi program Pitching Centre kelolaan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) .

Demikian menurut Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Seri Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad ketika melancarkan Pertandingan Video Pendek Integriti di Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI), di sini pagi tadi.

Tambahnya, sebanyak lebih 20 institusi pengajian tinggi swasta di sekitar Lembah Klang boleh merebut peluang keemasan untuk menerbitkan video pendek dengan tema ‘Integriti Pelbagai Agama Teras Kesejahteraan Rakyat’.

“Nilai-nilai integriti ada dalam setiap agama dan definisi integriti bukan hanya sekadar rasuah. Pastinya peserta akan melalui kembara dari segi perpaduan dalam membina ketahanan nasional sekali gus mewujudkan satu ekosistem yang kondusif di negara kita.

“Jika video yang dihasilkan berkualiti, kita juga tidak teragak-agak untuk memberikan slot menerusi rangkaian Radio Televisyen Malaysia (RTM),” ujar Sharifah Zarah lagi.

Program anjuran bersama INTEGRITI bersama Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) diadakan bersempena sambutan ulang tahun INTEGRITI yang ke-12 pada 23 April 2016 ini.

Sementara itu, menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI, Dr. Anis Yusal Yusoff, pertandingan ini sebagai usaha menyebar mesej integriti berdasarkan minat seseorang.

“Kita jemput mereka yang minat dalam bidang fotografi untuk memberi interpretasi mereka tentang integriti melalui lensa kamera,” ujar Anis Yusal.

Pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga masing-masing akan menerima RM2,000, RM1,500 dan RM1,000. Pertandingan ini bermula hari ini hingga 20 Julai 2016. Semua maklumat boleh diperoleh menerusi www.utar.edu.my.

Pada majlis yang sama, Sharifah Zarah turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Fotografi Integriti yang dimenangi oleh Muhammad Hafizzudin Baharin, 29 bagi kategori A dan Muhammad Ashari Mohamad bagi kategori B.

Pertandingan Fotografi yang telah berlangsung sejak 1 Disember 2015 sehingga 1 Januari 2016 lalu ini disertai lebih 500 orang. Pemenang menerima wang tunai sebanyak RM3,000 beserta sijil.

 

KSU2

Dr. Sharifah Zarah bersama Dr. Anis Yusal Yusoff ketika melawat Pusat Ilmu INTEGRITI di Institut Integriti Malaysia, pagi tadi.

 

Terdahulu Sharifah Zarah turut merasmikan Pusat IImu INTEGRITI yang dilengkapi bahagian ‘red spot’ yang membolehkan para penyelidik menggunakan ruang tersebut bagi membuat kajian berdasarkan bahan-bahan hasil kajian INTEGRITI.

 

– SF/AAS
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *