Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Kemerdekaan Bukan Sekadar Kibar Jalur Gemilang

By 25 Ogos 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

 Oleh M Zakry Chan

MELAKA, 25 Ogos (Malaysiaaktif) – “Makna kemerdekaan negara ini bukan sekadar mengibarkan bendera Jalur Gemilang semata-mata, namun lebih penting kita menghayati sejarah kemerdekaan negara dan dari situ itu akan merasa betapa besar pengorbanan serta nilai kemerdekaan itu.”

Demikian kata bekas Pegawai Waran II Kem Komando Gerak Khas, Tukachil Zakaria ketika ditemui di majlis Sambutan Bulan Kebangsaan 2016 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Tanjong, Tanjung Kling, semalam.

“Kemerdekaan negara yang dikecapi hari ini adalah atas usaha pemimpin yang bijak melalui proses perbincangan demi perbincangan tanpa pertumpahan darah. Namun, selepas kemerdekaan dikecapi, terdapat anasir-anasir yang cuba mengagalkan usaha ini.

“Penganas Parti Komunis Malaya (PKM) telah melancarkan serangan dengan membunuh ramai tentera dan orang awam dalam mencapai impian mereka untuk mengambil alih pemerintahan Tanah Melayu,” kata Tukachil, mengimbau kembali ancaman pengganas komunis pada tahun 1968 hingga 1989.

Serangan pengganas komunis yang turut dikenali sebagai Bintang Tiga itu menguatkan tekad Tukachil yang baru sahaja menamatkan persekolahan di umur 17 tahun pada 1968 untuk menyertai pasukan keselamatan bagi mempertahankan negara yang sedang diancam serangan komunis.

Lahir pada 31 Ogos 1951 di Batu Pahat, ibunya meninggal dunia semasa bersalin dan Tukachil kemudiannya dijaga oleh ibu saudaranya sehingga berumur 18 tahun.

Menurut Tukachil, pengalaman menentang pengganas komunis di dalam hutan bersama rakan-rakan komando sememangnya akan menjadi ingatan sampai bila-bila. Melihat sahabat ditembak dan terkubunya wira-wira bangsa menguatkan lagi semangat Beret Hijau untuk berperang menghapuskan musuh.

Tukachil bersama para pelajar SMK Seri Tanjung, Tanjung Kling, semalam.

Bekas Pegawai Waran II Kem Komando Gerak Khas, Tukachil Zakaria bersama para pelajar SMK Seri Tanjong, Tanjung Kling.

 

“Pihak Komunis juga menggunakan serangan psikologi terhadap angkatan tentera kita dengan menyebarkan risalah propaganda dan saya masih ingat lagi risalah itu bertulis ‘Hei anjing-anjing kerajaan, kau menyalak di dalam hutan, kau menyalak di gunung, kau menyalak di bukit tapi pembesar-pembesar kamu bersenang lenang dengan perempuan dan wang ringgit’,” kata Tukachil.

Namun menurutnya, mereka sedikit pun tidak menghiraukan risalah tersebut malah risalah tersebut menguatkan lagi tekad mereka untuk memburu pengganas komunis hingga ke lubang cacing.

Peristiwa pahit tesebut, termasuklah zaman penjajahan British, menuntut kemerdekaan, melawan PKM, Konfrontasi Indonesia, peristiwa berdarah 13 Mei, militan Al-Ma’unah, serta pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu banyak mematangkan kita. Kini, muncul pula penganas-penganas zaman baharu yang ingin mengucar-ngacirkan negara kita.

“Serangan musuh pada masa kini lebih hebat melalui penggunaan media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan Blog dengan melancarkan fitnah terhadap pemimpin hanya dengan menggunakan jari.

“Tujuannya supaya rakyat marah dan akhirnya memberontak merosakkan negara. Sebagai contoh, Revolusi Arab Spring di negara-negara Arab yang sehingga kini masih bergolak. Kita sebagai rakyat Malaysia harus bersatu padu dan tidak mudah percaya dengan berita yang tidak pasti kesahihannya,” tegasnya.

Tukachil turut menegaskan, dalam menjaga keamanan negara, rakyat seharusnya memahami erti kemerdekaan yang sebenarnya.

“Erti kemerdekaan bukan hanya di mulut tapi di hati yang sanggup bekorban untuk negara tercinta, mengetahui sejarah dapat membantu kita dan anak cucu kita untuk meneruskan kesinambungan kemerdekaan negara.

 

-DZ/AAS

Tinggalkan komen anda