Kolam Tradisi Masyarakat India

feature-kolem

 

 Laporan dan foto oleh Fasharina Kholil

GERIK, 27 Okt (Malaysiaaktif) – Kolam merupakan lukisan di atas lantai di halaman rumah ataupun kuil dan ia adalah salah satu daripada tradisi masyarakat India. Perkataan ‘kolam’ dalam bahasa Tamil membawa maksud indah atau cantik.

Menurut Ketua Kampung Ramasamy, Ramasamy a/l Gopal, 64, kolam merupakan satu seni lukis yang cantik dan menarik dengan gabungan pelbagai corak serta rekaan yang berwarna-warni.

“Bagi masyarakat India, kolam adalah salah satu cara yang mudah untuk melakukan kebajikan. Bukan hanya cantik untuk dipandang bahkan turut menjadi sumber makanan kepada serangga kecil, semut dan burung.

5

“Antara bahan yang biasa digunakan untuk menghasilkan kolam adalah beras, tepung, kerisik kelapa serta sagu yang diwarnakan dengan pewarna makanan yang selamat untuk dimakan. Corak merak, bunga dan lukisan abstrak sering menjadi pilihan orang ramai dan diwarnai mengikut kreativiti dan imaginasi masing-masing,” ujarnya.

Tambah Ramasamy, lazimnya lukisan kolam akan menjadi perhiasan semasa Tahun Baru serta perayaan seperti Deepavali dan hari-hari yang dianggap istimewa seperti hari Selasa dan Jumaat. Tidak ketinggalan juga semasa majlis pertunangan, perkahwinan, pesta Ponggal upacara keagamaan atau sekadar hiasan dalam majlis kebudayaan.

Katanya lagi, bagi penduduk-penduduk di bahagian Utara India, mereka menggunakan istilah Ranggoli, nama lain untuk kolam, seperti yang biasa didengar dalam filem-filem Bollywood.

whatsapp-image-2016-10-27-at-15-10-56

Ramasamy (tiga dari kanan) ketika program bersama Jabatan Penerangan Malaysia tahun lepas.

 

“Kolam merupakan salah satu tradisi masyarakat India yang perlu dipelihara agar tidak dilupakan oleh generasi muda. Ia merupakan satu seni yang unik, menarik dan penuh dengan nilai tradisional, ” katanya.

Bagi memartabatkan seni lukisan ini, Ramasamy pernah menganjurkan Pertandingan Melukis Kolam sekitar bulan Jun tahun lalu dan mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan generasi muda.

Selain daripada itu, beberapa orang penduduk kampung Ramasamy juga pernah diundang untuk menghasilkan kolam bersempena Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Zon Utara 2015 yang diadakan di Dataran Lenggong.

“Mendapat undangan daripada Jabatan Penerangan Hulu Perak bagi menghasilkan dan mempamerkan seni kolam ini kepada orang ramai merupakan satu penghargaan buat kami dan ia sesuatu yang manis untuk dikenang,” katanya lagi.

Dalam pada itu, dia turut berharap agar seni lukisan kolam ini diwarisi dan diteruskan oleh generasi muda agar tidak tenggelam dek arus kemodenan kerana kolam merupakan salah satu identiti kebanggaan masyarakat India.

 

-DZ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *