Laporan dan Foto : Fauziah Hussain & Parameswary Leksmnan (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 28 Okt (Malaysiaktif) – “Kerajaan meletakkan harapan besar terhadap Generasi Y dan mereka yang akan mencorak hala tuju negara ini”.
Demikian dinyatakan Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari ketika ditemui selepas merasmikan Program Apa Kata Gen-Y Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) di Universiti Teknologi Malaysia, semalam.
“Patriotisme bukan bermaksud negara sahaja yang merdeka, malah minda seharusnya merdeka. Sesebuah negara belum mencapai kemerdekaan selagi terdapat penglibatan kuasa asing dalam pentadbiran. Kebudayaan negara dan bangsa juga harus dipertahankan”.
“Kemerdekaan negara dapat dikekalkan dengan memberi pendedahan kepada generasi muda. Suara generasi muda ini tiada sekatan untuk diutarakan terutamanya dalam zaman teknologi siber kini,” ujarnya.
Ahmad Fauzi juga menyatakan bahawa ibu bapa memainkan peranan penting dalam menbendung penglibatan generasi Y daripada gejala dadah memandangkan ‘mata dan telinga’ pihak kerajaan terhad dalam perkara ini.
“Melalui program seumpama ini, generasi Y diberi pendedahan supaya menjauhi dadah,” tambahnya lagi.
Peserta program, Agasthya Awli berkata program ini sangat baik kerana menjadi platform untuk mahasiswa menyuarakan pendapat mereka.
Manakala Panel Forum Terbaik, Tan Mui Koon mengajak Gen-Y supaya tidak menyalahguna media sosial kepada perkara-perkara negatif.
“Sikap ‘copy paste’ dan sebar maklumat salah di media sosial akan merosakkan akhlak. Keprihatinan perlu dalam menjaga privasi dan sensitiviti masyarakat sekeliling,” ujarnya.
Penerima sumbangan ‘Titik Sentuhan’, Muhammad Zaiful Ezzwan Mohamad Zainuddin menyifatkan program ini memberi kesan kepada mahasiswa sepertinya dan berhasrat supaya diberi peluang untuk hadir ke program seperti ini pada masa akan datang.
Program Apa Kata Gen-Y berbentuk forum ilmiah merupakan anjuran Jabatan Penerangan WPKL dengan kerjasama UTM, Kuala Lumpur sebagai salah satu alternatif untuk memperkasakan minda dan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.
Forum yang dihadiri seramai 400 orang ini telah dikendalikan oleh Pensyarah UTM, Dr. Muhamad Fathi Yusof dan empat ahli panel terdiri daripada pelajar UTM iaitu Muhammad Farhan Mokthar, Muhammad Hilmi Mustapha, Abdul Hatim Hakimi serta Tan Mui Koon.
Penyampaian sumbangan ‘titik sentuhan’ juga diadakan dalam program ini. Penerimanya terdiri daripada dua orang pelajar UTM, iaitu Mat Noor Maming dan Muhammad Zaiful Ezzwan Mohamad Zainuddin serta tiga wargaUTM, iaitu Jamaliah Abdullah, Zuriana Sudin dan juga Syed Hashim Syeh Noh.
Turut hadir ke program ini adalah Timbalan Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Mohd Sukari Ab Hamid, Pemangku Pengarah Kampus UTM Kuala Lumpur, Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin dan Pengarah Penerangan WPKL, Mohd Taib Haji Ubah.