Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Buah Dabai, Buah kegemaran Penduduk Iban Sarawak

By 15 Disember 2016Tiada komen1 minit bacaan

 

Oleh Nicholas Balawing Ibas (Sarawak)

KUCHING, 15 Dis (Malaysiaaktif) – Buah dabai (Canarium odontophyllum) adalah sejenis buah kegemaran ramai penduduk di Sarawak.

Buah bermusim dan kebanyakannya diperoleh dari kawasan tengah negeri ini begitu terkenal kerana kelunakan isi dan rasanya yang sedap.

Pada awal musim buah dabai, iaitu pada penghujung setiap tahun sekitar Disember, harga buah ini mampu mencecah sehingga RM40 sekilogram.

Walau bagaimanapun, ia juga boleh diperoleh pada harga RM28 atau RM25 sekilo bergantung  kepada kemahiran tawar-menawar di antara pembeli dan penjual serta saiznya.

Menurut seorang penjual buah dabai di Pasar Tamu Sibu yang hanya mahu dikenali sebagai Endu, 40, jenis buah dabai terbaik dan sering mendapat permintaan tinggi daripada pembeli adalah buah dabai dari daerah Song, Kapit.

“Buah dabai dari daerah Song, Kapit sering menjadi buruan peminat buah dabai kerana keenakan rasanya dan seringkali habis dijual.”

“Masa terbaik mendapatkan buah dabai daerah Song adalah pada sebelah pagi kerana bot ekspres yang membawanya akan sampai di Sibu sekitar jam 10 pagi,” kata Endu yang merupakan anak tempatan Sibu dan berketurunan Iban.

Buah dabai di Sarawak adalah pokok buah yang bukan ditanam untuk tujuan komersil. Ia juga ditanam untuk dimakan sendiri oleh kaum Iban.

Namun begitu, disebabkan permintaan yang tinggi, kini kebanyakkan orang Iban mengambil kesempatan untuk menjualnya bagi menambah pendapatan sampingan.

Buah dabai juga mudah didapati di daerah Kapit, Betong dan Sarikei.

 

-AAS

Tinggalkan komen anda