Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

15,183 Penduduk Melaka Keluar Daripada Garis Kemiskinan

By 15 Disember 2016Tiada komen2 minit bacaan

Laporan dan foto oleh Fauzrina Hj Bulka

JASIN, 15 Dis (Malaysiaaktif) – Menurut Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, sehingga tarikh semalam, seramai 15,183 penduduk dalam negeri Melaka dikenalpasti keluar daripada garis kemiskinan.

“Manakala 979 lagi masih berada pada tahap miskin dengan daerah Melaka Tengah dengan jumlah tertinggi seramai 413 orang, diikuti Alor Gajah seramai 330 manakala Jasin pula seramai 236 orang, dan bagi kategori miskin tegar adalah sifar,” kata beliau.

Menurutnya, kerajaan negeri berharap agensi-agensi berkaitan yang terlibat memberi bantuan dapat menganjur lebih banyak program berbentuk motivasi kepada para penerima program Projek Pembangunan Rakyat Terpimpin (PPRT 2).

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran PPRT 2 dan pelancaran Tabung Amal Demimu Rohingya di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai, disini tadi.

Majlis perasmian disempurnakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Hadir sama Exco Pertanian dan Pembangunan Usahawan, Datuk Hasan Abdul Rahman. PPRT 2 merupakan kesinambungan daripada projek pembangunan rakyat termiskin yang telah dijalankan serta dilaksanakan demi membasmi kemiskinan rakyat termiskin di negeri Melaka.

Menurutnya, melalui PPRT 2 kerajaan turut menawarkan pelbagai peluang baharu bagi membantu mengeluarkan para penerima PPRT daripada kepompong kemiskinan, melahirkan masyarakat dinamik serta dapat berdikari menjana ekonomi, tanpa mengharap bantuan saluran kerajaan sepenuhnya.

“Menerusi projek ini kerajaan negeri berharap dapat membantu mengubah minda rakyat supaya berusaha menambah pendapatan sehingga tiada lagi penerima PPRT di masa hadapan,” kata Idris.

Kata Idris lagi, di Melaka terdapat pelbagai agensi yang menawarkan khidmat nasihat dan bimbingan usahawan yang mensasarkan kepada golongan yang mempunyai minat dan kemampuan fizikal untuk menaiktaraf hidup mereka.

“Setelah mendapat bimbingan daripada agensi berkaitan, maka proses pemantauan projek akan dilaksana secara berkala dimana bantuan peningkatan berupa imej dan kualiti melalui kursus, seminar, ekspo dan lapotan hasil bulanan akan diberi dati semasa ke semasa,”katanya.

Idris turut berharap agar lebih banyak program dan aktiviti dirancang untuk membantu dan memberi idea supaya para peserta dapat dibantu keluar dari kesusahan dan lebih agresif untuk berdaya saing.

Dalam pada itu Idris turut mengulas mengenai Tabung Amal Demimu Rohingya, dimana wang yang dipungut akan dikumpul dan akan disumbangkan terus kepada dana di peringkat kebangsaan yang bertujuan membantu mangsa-mangsa di Rohingya. 

“Saya minta Datuk Hasan sendiri akan mendaftarkan tabung ini dan senarai kutipan akan diisytiharkan dan kutipan akan dijalankan sehingga tarikh yang diputuskan bersama ahli exco,”katanya.

Melaka juga akan membuat Perhimpunan Untuk Rohingya pada januari depan bertempat di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) bagi memprotes keganasan yang dilakukan terhadap masyarakat Rohingya.

 

AAS

Tinggalkan komen anda