Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurEkonomiHomePahangViral

‘Bentong By-Pass’ Bagi Atasi Sesak Melalui Pekan Bentong

By 6 Januari 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

Laporan / foto oleh  Zulkeffleey Muhamad  

BENTONG, 6 Jan (Malaysiaaktif) — Setiap kali musim perayaan atau cuti umum panjang maka akan terdengar keluhan pengguna berikutan kesesakan jalan raya untuk ke pantai timur semenanjung.

Rentetan masalah ini berlaku sejak beberapa dekad lalu dengan ketidakmampuan jalan raya persekutuan asal menampung bilangan kenderaan yang semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Maka itu, seiring pembangunan dan pembinaan pelbagai infrastruktur untuk kemudahan rakyat, kerajaan mengambil inisiatif untuk membina Lebuh Raya Kuala Lumpur – Karak pada 1974.

08943432-1ee8-4ec0-a127-c7d0721c1e63

Fadillah merasmikan ‘Bentong Bypass’ semalam.

 

Kini, dengan kepesatan pembangunan negara yang telah meningkatkan taraf hidup dan pendapatan rakyat, semakin banyak kenderaan didapati menggunakan lebuh raya untuk ke pantai timur dan kawasan sehala dengannya.

Ini sekali lagi menimbulkan masalah yang memeningkan rakyat.

Prihatin akan dilema yang dihadapi mereka, kerajaan tidak lama dahulu telah bertindak untuk membantu melancarkan arus trafik dalam sektor ini dengan pembinaan jalan raya tanpa tol “Central Spine Road” (CSR) sebagai laluan alternatif.

Terbaharu, laluan pintasan yang dikenali sebagai ‘Bentong Bypass’ dirasmikan pembinaannya semalam oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Jalan pintas sepanjang 28 kilometer ini bakal melegakan pengguna yang setiap kali tiba musim perayaan dan cuti umum terpaksa berdepan dengan kesesakan apabila melewati bandar Bentong hingga memakan masa lebih sejam.

Laluan yang bermula di Simpang Pelangai berhampiran tol Bentong di Lebuh Raya Karak ini akan membolehkan pengguna melakukan perjalanan ke Raub dan lain-lain destinasi tanpa perlu menempuh pekan Bentong.

Menurut Ahli Parlimen Bentong Datuk Seri Liow Tiong Lai yang turut hadir pada majlis perasmian ‘Bentong By-Pass’ semalam, laluan  ini menawarkan jalan alternatif untuk ke Pantai Timur.

fbfc6300-36df-46d6-b4c2-a9e7df1fae9b

Fadillah dan Liow di lokasi pembinaan ‘Bentong Bypass’.

 

Sebagai pintu masuk ke Pantai Timur, Liow berkata apabila siap kelak,  ‘Bentong Bypass’ akan menjadikan Bentong sebagai bandar satelit Kuala Lumpur.

Buat masa ini dianggarkan lebih 100,000 buah kenderaan melalui pekan Bentong setiap hari dan jumlahnya lebih banyak pada hujung minggu dan musim perayaan.

Oleh yang demikian Liow berpendapat apabila siap kelak, laluan tersebut akan dapat melonjakkan ekonomi seluruh wilayah Pantai Timur dengan menawarkan laluan yang lebih cepat dan selamat.

Kira-kira RM578.25 juta telah diluluskan bagi projek ini yang mula dibina pada November 2015 dan dibahagikan kepada tiga fasa.

Fasa 1 dijangka siap menjelang Oktober 2018.

Sementara itu, Fadillah berkata kementeriannya telah memohon tambahan sebanyak RM50 juta bagi menyiapkan Fasa 2.

Beliau berkata laluan pintas itu akan dilengkapi dengan beberapa jalan susur keluar ke bandar Bentong.

‘Bentong Bypass’ adalah sebahagian daripada projek CSR sepanjang 350km yang menghubungkan Bentong secara terus hingga ke Kota Bharu di Kelantan.

Keseluruhan projek pembinaan CSR dijangka berharga RM6.6 bilion. Setakat ini lebih 15 peratus telah disiapkan dan 25 peratus lagi menjelang 2020.

Terdapat enam buah pakej cadangan jalan baharu untuk menaiktarafkan jalan sedia ada yang disisipkan dalam pelan pembinaan CSR ini.

Pakej Satu akan menghubungkan Kuala Krai ke Gua Musang, Pakej Dua melibatkan laluan Gua Musang ke Merapoh, Pakej Tiga, dari Merapoh ke Kuala Lipis, Pakej Empat dari Lipis ke Raub, Pakej Lima menghubungkan Raub ke Bentong dan Pakej Enam dari Bentong ke Simpang Pelangai.

 

-SH /AAS

Tinggalkan komen anda