Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Erti BR1M Buat Warga Emas

By 8 Mac 2017Mac 10th, 2017Tiada komen3 minit bacaan

 Laporan / Foto: Sahiman Rahman (Sabah)

KUDAT, 8 Mac (Malaysiaktif) – Ketika masyarakat hari ini terus mempertikaikan pemberian kerajaan melalui Program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) namun masih terus tersemat di hati sebilangan rakyat yang memerlukan bahawa pemberian ini amat bermakna kepada mereka.

“Ibarat hidup kais pagi, makan pagi, kais petang makan petang” demikianlah gambaran rutin masyarakat luar bandar yang banyak bergantung pada hasil seharian untuk santapan seisi keluarga.

Bagi masyarakat luar bandar bantuan pemberian bantuan rakyat ini tetap disyukuri kerana dapat meringankan beban hidup.

Warga emas, Rakiah Angkong, 60, dan Rapatah Absar, 90, dari Kampung Perpaduan meluahkan rasa syukur atas pemberian BR1M yang dapat juga meringankan beban hidup masing-masing.

Menurut Rakiah, ketika ini dia tidak lagi mampu mengerjakan apa-apa pekerjaan, dia hanya menanti ihsan dan bantuan kerajaan.

Aselah bersama dua anaknya sambil menunjukkan baucar BR1M yang diterimanya.

Aselah bersama dua anaknya sambil menunjukkan baucar BR1M yang diterimanya.

“Ketika ini saya tinggal bersama anak-anak, sekurang-kurangnya dengan bantuan ini dapat juga saya memberi sedikit sumbangan untuk makan minum kami bersama,” ujarnya.

Bagi Rapatah pula, pemberian ini amat bererti baginya kerana ketika usia semakin lanjut pemberian ini tidak dapat diungkap dengan kata-kata hanya terima kasih dan syukur,” katanya yang turut menerima bantuan kewangan sejumlah RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan.

Selain itu, seorang lagi penerima BR1M, Aselah Open, 35, dari kampung Landong Ayang berkata pemberian ini amat besar ertinya bagi dirinya yang hanya seorang suri rumah sambil membesarkan tiga orang anaknya.

“Selama ini saya hanya bergantung harap kepada pendapatan suami sebagai seorang nelayan yang kekadang ada kekadang tiada, tetapi dengan adanya pemberian ini dapat jugalah kami bergantung harap untuk membeli barangan keperluan harian ketika kesempitan.

“Memang tidak dinafikan kos barangan hari ini tinggi lebih-lebih lagi di luar bandar tetapi atas bantuan ini dapatlah juga membeli barang keperluan.

“Langkah kerajaan untuk memberikan BR1M ini satu usaha yang murni dan perlu diteruskan walaupun ramai yang kata sebaliknya tetapi bagi kami BR1M ialah nikmat yang perlu disyukuri dan tahun ini merupakan tahun kedua saya menerimanya,” tambahnya.

Sementara itu belia, Jeffren Jalius, 23, berkongsi pandangan terhadap pihak yang mengatakan bantuan ini merupakan rasuah dan pemberian ini merugikan kewangan negara.

“Ketika ini saya sedang bekerja sambilan di sebuah kedai dan pada masa sama saya juga belajar di Asian Tourism Institute (ATI) Kota Kinabalu. Apabila mengetahui saya turut menerima bantuan ini, syukur dapat juga membantu saya untuk membeli barang keperluan pembelajaran harian.

“Dakwaan BR1M sebagai rasuah adalah tidak tepat kerana sebelum ini kerajaan banyak membantu rakyat. Walaupun saya tidak pernah menerima pemberian bantuan susu atau bantuan baju dan kasut  di sekolah dahulu tetapi saya yakin pemberian tersebut sama seperti bantuan kewangan yang saya terima sekarang.

BR1M4

“Kenapa perlu menyatakannya rasuah, bagi saya BR1M ialah bantuan yang wajar bagi membantu rakyat dan jika membantu rakyat dianggap sebagai merugikan kewangan negara juga adalah tidak tepat kerana dengan membantu rakyat dapat meningkatkan ekonomi negara,” ujarnya.

Terdahulu, Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Teo Chee Kang mengingatkan para penerima agar menggunakan bantuan kewangan tersebut dengan lebih berhemah dan mengelakkan sikap membazir.

“Penerima bantuan seharusnya merancang dan mengawal perbelanjaan agar bantuan ini bukan sekadar bantuan tetapi dapat meringankan beban keperluan seharian penerima dan elakkan bersikap boros dan jadilah bijak mengurus kewangan,” katanya semasa menyampaikan Baucar BR1M di Mini Dewan Pejabat Daerah pada Khamis.

Bagi pemberian fasa pertama ini, seramai 900 penerima tersenarai bagi menerima baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia bagi di daerah berkenaan.

-SF

Tinggalkan komen anda