Skip to main content
Berita TempatanHomeLabuanWilayah Persekutuan

Tahun Lepas Tempat Ketiga, Kini Juara

By 5 April 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: Mohd Faizal Mansor / Foto: Jeffrey Nian

LABUAN, 5 Apr (Malaysiaaktif) Peribahasa ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’ merupakan gambaran yang boleh digunakan bagi Johan Pertandingan Pidato 1Malaysia Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2017, Mohd Asyraf Abd Hamid, 21, yang akhirnya bergelar juara pertandingan tersebut setelah meraih tempat ketiga pada tahun lepas.

Penuntut semester dua Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Sejarah Pendidikan Rendah, Institut Pendidikan Guru Kampus Keningau (IPG) itu puas setelah usahanya selama ini tanpa mengenal erti putus asa akhirnya terbalas dengan tajuk pidatonya, ‘Cinta Negara Teras Keamanan’.

Menurut Asyraf, untuk tahun ini, dia membuat persiapan rapi dari segi penyediaan hujah serta pemilihan tajuk yang bersesuaian selain membaca banyak bacaan buku-buku ilmiah serta mendalami isu-isu semasa.

“Bantuan slaid-slaid ‘PowerPoint’, garapan sempurna isi-isi serta hujah-hujah yang meyakinkan merupakan faktor utama terhadap kejayaan saya kali ini di samping penyampaian hujah secara jelas dan meyakinkan,” ujarnya.

Bersemangat...Asyraf ketika menyampaikan pidatonya bertajuk, 'Cinta Negara Teras Keamanan'.

Bersemangat…Asyraf ketika menyampaikan pidatonya bertajuk, ‘Cinta Negara Teras Keamanan’.

Asyraf yang berjaya menewaskan lapan peserta yang lain membawa pulang wang tunai RM1,500, trofi dan sijil penyertaan.

Pertandingan Pidato 1Malaysia anjuran Jabatan Penerangan Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan dengan kerjasama Kolej Matrikulasi Labuan ini dirasmikan oleh Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, Datuk Bashir Alias di Dewan Kuliah 2 Kolej Matrikulasi Labuan, petang kelmarin.

Kata Bashir, pertandingan tersebut boleh dijadikan platform untuk mengasah daya kepimpinan anak muda khususnya di labuan ini.

“Mereka juga dapat mengetengahkan pendapat melalui hujah-hujah pidato yang disampaikan di samping menyampaikan dasar-dasar kerajaan melalui berpidato kepada generasi muda di pulau ini.

Datuk Basyir 2

Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, Datuk Bashir Alias.

“Selain itu, pertandingan ini juga menyumbang ke arah pembinaan bangsa Malaysia yang bersemangat patriotisme dan juga berilmu pengetahuan selaras dengan aspirasi kerajaan dalam melahirkan modal-modal insan belia bagi menghadapi Program Transformasi Nasional 2050 (TN50) seperti yang dinyatakan dalam Pembentangan Bajet 2017 yang lalu,” katanya.

Jelasnya, TN50  yang diperkenalkan baru-baru ini merupakan kesinambungan untuk melahirkan generasi anak belia yang bukan sahaja berfikiran kreatif dan inovatif malahan mempunyai jati diri yang kuat dalam mengharungi cabaran-cabaran global dan ekonomi yang memerlukan benteng ketahanan diri yang kuat.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Penerangan Labuan, Azman Sipan dan Pengarah Kolej Matrikulasi Labuan, Yusof Samat.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda