Skip to main content
Berita TempatanSabah

Ubah Persepsi Guru Hanya Berdiri, Mengajar

By 4 April 2017Tiada komen5 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan: Fauzrina Hj. Bulka / Foto: Kingfier Missin & Fauzrina (Sabah)

KOTA BELUD, 4 Apr (Malaysiaktif) – Setiap guru sememangnya inginkan yang terbaik untuk anak muridnya kerana murid ialah aset tidak ternilai yang wajib dijaga sebaiknya.

Ibu bapa dan masyarakat yang cenderung berpendapat guru hanya berdiri dan mengajar, sewajarnya perlu mengubah persepsi tersebut dengan menjadi guru walau sehari bagi menyelami cabaran sebenar.

Guru Bahasa Inggeris, Sekolah Kebangsaan Sayap, Kingfier Missin berkata sejujurnya apabila tugas seorang guru sering diperlekehkan dia merasa agak terkilan kerana tugas mulia seorang guru memiliki skop yang amat luas.

“Bukan hanya setakat mengajar, tetapi keberhasilan membentuk sahsiah murid tidak terletak kepada seorang guru sahaja malah semua pihak. Guru juga umpama ibu bapa kedua murid yang perlu menjaga segenap sudut murid dalam kuantiti yang besar.

Kingfier semasa menerima hadiah daripada Salleh.

Kingfier semasa menerima hadiah daripada Salleh.

Beliau berkata demikian semasa ditemui wartawan Malaysia Aktif pada majlis Apresiasi Linus 2.0 dan Anugerah Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBG) di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Taun Gusi II pada Ahad.

Kingfier Missin yang turut memenangi Johan Buku Besar (Big Book) kategori Bahasa Inggeris pada majlis tersebut menjelaskan unit-unit LINUS, prasekolah dan pemulihan di Sekolah Kebangsaan Sayap menghasilkan Buku Besar sebagai medium bahan bantu belajar (BBB).

“Penghasilan buku ini membuatkan murid-murid lebih bersemangat apabila proses pembelajaran dan pengajaran menggunakan bahan Maujud (boleh sentuh) berbanding teori.

“Buku yang kami menang sebenarnya dihasilkan pada tahun lalu yang merupakan penglibatan kali pertama untuk daerah Kota Belud.

“Secara kebetulan saya mempunyai minat melukis dan aktiviti berkaitan kreativiti membuatkan saya begitu teruja berkongsi dengan para pelajar saya,” jelasnya yang banyak membuat rujukan melalui media sosial, Youtube.

Tambahnya, buku yang dihasilkan ini mengambil masa selama lebih dua bulan untuk disiapkan dengan kos bernilai RM250 dan keseluruhan lima buah buku besar yang berjaya dihasilkan oleh guru-guru SK Sayap bernilai RM800.

“Usaha ini tidak sia-sia apabila turut berjaya memenangi tempat pertama Buku Besar Bahasa Melayu, Pemulihan Khas dan Kolaboratif Terbaik LINUS. Kami turut berbangga apabila mendapat tempat kedua bagi kategori Numerasi dan sagu hati bagi kategori Prasekolah.

“Pelbagai pengalaman diperoleh sepanjang pembikinan buku besar tersebut antaranya terpaksa menghadapi tempoh rehat yang kurang dan ada kalanya tidak sempat makan tetapi semua cabaran ini dapat diatasi apabila ada perancangan rapi.

“Segala usaha gigih akhirnya berbayar apabila melihat murid-murid terutama dari kelas LINUS  teruja melihat buku besar yang menggunakan warna ceria dan berbentuk 3D yang sangat digemari.

“Dengan buku ini mereka lebih cepat faham serta menjimatkan masa mengajar dan kelebihan buku ciptaan saya ini boleh diceraikan untuk tujuan pembelajaran akses kendiri yang ditekankan dalam pembelajaran Abad 21 (PA21),” katanya lagi.

Kingfier turut berkongsi tips membuat buku besar berkualiti iaitu dengan mencari tema yang bermakna seperti buku yang dihasilkannya memilih watak ‘Alice In The Wonderland’ kemudian baru menyediakan rangka berdasarkan soalan LINUS Konstruk satu hingga 12.

Gabungan isu buku dengan Linus iaitu membaca, menulis dan buku besar perlu fleksibel iaitu bukan sahaja boleh diguna pakai oleh murid tahun satu malah boleh diguna oleh murid prasekolah mahupun tadika.

Siti Aminah menunjukkan kaedah pembelajaran menggunakan buku besar.

Siti Aminah menunjukkan kaedah pembelajaran menggunakan buku besar.

Sementara itu, Johan Buku Besar Kategori Pemulihan Khas, Siti Aminah @Santia Abdulah @Enggam berkata buku yang dihasilkannya boleh diguna pakai untuk membantu murid tahun satu.

“Sebenarnya murid dicalonkan menyertai kelas pemulihan hanya apabila mereka berada dalam tahun dua. Semasa tahun satu, murid tidak boleh dicalonkan sebab murid masih dalam proses mencuba belajar, jika murid tidak dapat menguasai kemahiran yang diajar semasa tahun satu, maka pada tahun dua mereka akan dipilih menyertai kelas pemulihan,” jelas Siti.

“Murid-murid yang berada dalam kelas pemulihan khas sangat mencabar, paling penting merupakan kesabaran untuk berhadapan dengan permasalahan kurang minat untuk belajar.

Tambahnya, berhadapan dengan murid seperti ini guru perlu bijak membina keyakinan diri dan berkawan dengan mereka seterusnya mempengaruhi untuk belajar menggunakan bahan-bahan pengajaran yang lebih menarik.

“Namun setelah empat tahun mengajar tiada murid yang tersenarai dalam rekod pemulihan khas dan ini merupakan suatu pencapaian terbaik.

Ujarnya lagi, menerusi penglibatan membantu guru linus dan guru pengayaan tahap satu, keputusan linus mencapai 100 peratus lulus kecuali murid yang menghadapi masalah kecacatan.

Siti Aminah berharap agar usaha yang dilakukan ini dapat memberi impak besar kepada murid untuk menguasai kemahiran asas membaca dengan cepat sebagai meneruskan pembelajaran dalam kelas biasa.

“Saya lebih suka kongsi pengalaman bersama guru-guru lain iaitu jika tidak ada kesungguhan melakukan sesuatu pekerjaan hasilnya adalah biasa-biasa tetapi jika melakukan usaha sebaliknya pasti hasilnya juga luar biasa,” jelasnya lagi.

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Seri Dr.Salleh Tun Said berkata pelaksanaan majlis ini amat bertepatan sebagai mengiktiraf pencapaian sekolah di daerah ini.

“Kejayaan sekolah mencapai sifar LINUS serta mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan Kementerian Pendidikan wajar dihargai,” ujarnya.

Pada majlis tersebut, Salleh turut meluluskan permohonan peruntukan RM11 000 bagi menggalakkan pelaksanaan aktiviti di sekolah terbabit.

-SF

Tinggalkan komen anda