Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Fatwa Merokok Haram: Tahu Tapi Buat Tak Tahu

By 16 April 2017Tiada komen4 minit bacaan

 

Laporan / Foto: Mohd Baharruddin Mohamad (Sarawak)

KUCHING, 15 Apr (Malaysiaaktif) – Walaupun sudah diketahui merokok haram dari sudut syarak dan kemudaratan kepada kesihatan, namun perokok tetap bersikap acuh tidak acuh untuk menghentikan tabiat buruk ini.

Apabila ditanya sebab merokok, seorang kakitangan awam yang tidak mahu namanya dikenali menjawab dia suka dan mampu untuk merokok.

“Tidak ada dalil khusus yang mengatakan bahawa rokok itu haram secara langsung. Saya sanggup meredah hujan lebat atau apa-apa sekali pun pada waktu malam bagi mencari rokok jika terputus bekalan. Malah saya juga sanggup berpatah balik ke rumah sekiranya tertinggal rokok dan sanggup tidak membeli keperluan lain jika kehabisan rokok.

“Kadang-kadang saya jadi pemarah dan apabila tidak mendapat bekalan rokok. Inilah keadaannya dalam kalangan sesetengah perokok tegar,” jelasnya semasa ditemui Malaysiaaktif baru-baru ini.

Tambahnya, fatwa merokok juga tidak menjelaskan berkenaan pengharaman rokok menerusi al-Quran.

“Saya tahu berkenaan fatwa merokok tetapi buat tidak tahu kerana tidak ada nas yang jelas menyebut tentang haramnya rokok sama ada dari sudut al-Quran atau hadis.

“Cuma hukum merokok adalah makruh kerana tidak disebut secara jelas sebagaimana pengharaman babi, darah, bangkai dan lain-lain menerusi surah al-Quran,” jelasnya lagi.

Bagi seorang penuntut Universiti Teknologi MARA Kampus Samarahan yang turut ditemui di sini, dia mula cuba merokok sejak sekolah rendah lagi.
“Sejak sekolah hingga sekarang kadang-kadang saya bersembunyi untuk merokok takut kena tangkap, namun saya tetap juga merokok kerana sudah gian. Walaupun orang kata merokok itu haram dan boleh membawa penyakit seperti apa yang terdapat di kotak rokok, tetapi bagi saya tidak.

Pegawai Kesihatan Persekitaran, Miguel Durim
Pegawai Kesihatan Persekitaran, Miguel Durim

“Manakala fatwa rokok saya buat tak kisah dan buat tak tahu, lagipun apa yang saya nampak ramai ustaz-ustaz di luar sana pun banyak yang merokok, mereka kata makruh sahaja. Jika tidak merokok sekalipun tetap akan mati. Malah jika tidak merokok, idea kurang, produktiviti pula terjejas,” jelasnya lagi.

Kenyataan itu dipersetujui oleh seorang lagi perokok tegar yang hanya mahu dikenali sebagai Mat Taip.

“Tak merokok pun mati juga…bagus merokok. Segala fatwa buat macam biasa sahaja dan tidak ada kesan apa-apa kepada kita lagi pun jika saya tidak merokok saya tak boleh fokus. Idea pun tak berapa nak berfungsi.

“Kita faham tentang fatwa merokok ini, sama ada haram atau makruh terpulang kepada individu sama ada ingin mengamalkan atau tidak,” ujarnya yang dapat menghabiskan lebih sekotak rokok dalam sehari.

Seorang petugas masjid di Kuching yang tidak mahu namanya disebut pula berkata dikenali dia tetap merokok walaupun haram kerana tidak dapat lari daripada tabiat merokok.

“Berkenaan fatwa merokok kita memang menerima tentang penjelasan tersebut namun tabiat merokok memang tidak dapat dielak. Kalau saya tidak merokok pun penyakit tetap datang juga apatah lagi jika saya merokok.

“Sejak saya merokok, tabiat saya merokok yang sudah menjadi kebiasaan kepada saya dan bulan puasa semakin dekat maka semakin kritikal bagi saya kalau tidak merokok. Apabila tidak merokok, badan saya berasa lemah dan otak saya pun macam tidak berfungsi untuk berfikir,” ujarnya yang tidak menggalakkan sesiapa untuk mula merokok.

Rozer berpendapat fatwa merokok itu haram, bukan ditujukan kepada orang beragama Islam sahaja malah sesuai juga kepada agama lain.
Rozer berpendapat fatwa merokok itu haram, bukan ditujukan kepada orang beragama Islam sahaja malah sesuai juga kepada agama lain.

Menurut seorang kakitangan awam, Rozer yang bukan beragama Islam, fatwa rokok itu haram bukan hanya relevan kepada orang Islam, malahan juga sesuai sebagai panduan kepada agama lain.

“Fatwa tersebut sesuai untuk semua agama. Namun jika kilang membuat rokok semakin berleluasa maka makin ramailah perokok begitu juga penjual.

Kalau masih ada penjual rokok maka rokok tetap akan dibeli. Lagipun jika kilang rokok ditutup maka pihak terlibat perlu akan membayar ganti rugi kepada pengilang atau pekebun tembakau manakala pihak berkuasa pun tidak dapat mengambil cukai,” jelasnya.

Bagi Pegawai Jabatan Agama Islam Sarawak, Mual Suaud, perbuatan merokok adalah makruh selagi tidak mendatangkan kemudaratan atau mengganggu kesihatan para penghisapnya.

Namun katanya, hukum merokok bertukar haram apabila perbuatan itu jelas mengganggu kesihatan atau mendatangkan kemudaratan kepada orang yang mengambil bahan itu.

“Menerusi Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan Hal-Ehwal Islam Malaysia ke-37 (MFK 37) pada 23 Mac 1995, fatwa yang memutuskan bahawa tabiat merokok itu adalah haram berdasarkan kepada pelbagai fakta yang pada umumnya mengambil kira kesan-kesan negatif yang diperoleh daripada tabiat menghisap rokok, baik daripada segi perubatan, sosial mahupun ekonomi.

“Masih ramai dalam kalangan umat Islam di negara ini mengambil mudah tentang fatwa merokok adalah haram. Justeru, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Kesihatan mengadakan kerjasama dalam menganjurkan ‘Seminar Pendidikan Fatwa Merokok adalah Haram’ sebagai satu usaha untuk meningkatkan kesedaran. Bagaimana pun, kempen kesedaran yang dilaksanakan seolah-olah tidak berkesan kerana jumlah penghisap rokok terus meningkat saban hari,” jelasnya lagi.

Rakannya, Khalidi Ibrahim juga berkata fatwa rokok yang diputuskan oleh muzakarah jawatankuasa fatwa kebangsaan diterima oleh seluruh negeri Sarawak tanpa menimbulkan isu percanggahan hukum. Namun demikian dia berharap agar perokok mematuhi fatwa merokok dan cuba berhenti merokok.

“Merokok adalah haram daripada pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudaratan kesihatan dan pembaziran.

“Ketua-ketua jabatan bertanggungjawab untuk mengingatkan pegawai masing-masing tentang larangan merokok di mana-mana kawasan premis kerajaan seperti yang diwartakan. Penjawat awam juga hendaklah diingatkan bahawa mereka boleh diambil tindakan sekiranya melanggar peraturan berkenaan,” jelasnya melalui Whatsapp.

Malaysiaaktif Sarawak telah cuba untuk mendapatkan pendapat daripada pihak Mufti Negeri, tetapi mereka enggan memberikan sebarang komen.

Dalam pada itu, statistik Unit Inspektorat dan Perundangan (UIP), Jabatan Kesihatan Sarawak bagi dari Januari hingga Mac 2017 mencatatkan bilangan kompaun yang dikeluarkan semakin bertambah daripada sasaran hanya 200, namun yang terjadi sebenarnya mencatatkan peningkatan sebanyak 526 bagi Akta/Peraturan –Peraturan kawalan hasil Tembakau 2004 di Sarawak.

 

-SF/AAS

Tinggalkan komen anda